IBRAHIMOVIC memberi impak besar buat Milan ketika di penghujung musim. FOTO AFP
IBRAHIMOVIC memberi impak besar buat Milan ketika di penghujung musim. FOTO AFP
AFP

BINTANG Sweden Zlatan Ibrahimovic tetap menjadi sandaran utama buat AC Milan musim depan, jelas pengarah teknikal kelab, Paolo Maldini.

"Ibrahimovic adalah keutamaan kami, namun ia adalah sesuatu yang normal untuk mempunyai pelan B, juga C dan D.

"Kami sedang bekerja keras untuk mencapai persetujuan. Kami tahu akan mengharungi pramusim yang pendek, jadi kami cuba untuk menyelesaikannya dalam tempoh yang singkat," kata Maldini.

Ibrahimovic kembali menyertai Milan Januari lalu untuk kontrak selama enam bulan selepas meninggalkan Los Angeles Galaxy, dengan nilai AS$3.9 juta (RM16.2 juta) serta mempunyai pilihan untuk menyambung aksi bagi musim seterusnya.

Pemain kelahiran Sweden berusia 38 tahun itu memberi impak besar, dengan menjaringkan 11 gol dalam semua kejohanan tatkala kelab berkenaan berjaya melonjak dari kedudukan ke-11 menamatkan saingan di tempat keenam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AC Milan, Ivan Gazidis berkata, mereka sangat optimis Ibrahimovic akan terus berada bersama mereka apabila musim baru bermula 19 September ini.

"Saya rasa kita semua dapat melihat Ibra memainkan peranan penting dalam saingan musim lalu dan ketika kami sedang berusaha untuk mempamer peningkatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 12:51 AM