NADAL intai kejuaraan Pusingan Akhir ATP. - FOTO Agensi
NADAL intai kejuaraan Pusingan Akhir ATP. - FOTO Agensi
Reuters

RAFA Nadal mengetepikan bintang Serbia, Novak Djokovic selaku pemain nombor satu dunia dalam ranking ATP susulan kejayaan pemain Sepanyol itu mara ke separuh akhir Paris Masters.

Bagaimanapun, Nadal terpaksa menarik diri beberapa minit sebelum aksi bermula ketika menentang pemain Kanada, Denis Shapovalov angkara kecederaan otot perut dan pemain berusia 33 tahun itu enggan menanggung risiko menjelang Pusingan Akhir ATP pada 10-17 November ini.

Walaupun Djokovic muncul juara di Paris, kejayaan mara ke separuh akhir itu sudah mencukupi buat Nadal menjadi pemain kedua tertua menduduki ranking pertama selepas pemain Switzerland, Roger Federer melakukannya pada usia 36 tahun lalu.

"Saya sangat gembira musim ini,” kata Nadal. β€œIa sukar pada awalnya tetapi kemudiannya saya berusaha bermain tenis peringkat tertinggi sehingga berjaya hari ini. Saya sangat bangga dengan kejayaan tahun ini.”

Nadal menang dua Grand Slam tahun ini --- Terbuka Perancis dan Terbuka AS dengan hanya satu lagi menyamai jumlah gelaran dimiliki Federer sebanyak 20 gelaran.

Tetapi kecederaan menjadi penghalang Nadal meraih lebih banyak kejuaraan musim ini dan Pusingan Akhir ATP bakal menjadi peluang terakhir untuknya meraih gelaran kelima dalam karier.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 11:20 PM