NADAL (kanan) diberi ucapan tahniah oleh  Wawrinka  selepas tamat perlawanan di  The AccorHotels Arena, Paris. - FOTO AFP
NADAL (kanan) diberi ucapan tahniah oleh Wawrinka selepas tamat perlawanan di The AccorHotels Arena, Paris. - FOTO AFP
Reuters

RAFAEL Nadal meneruskan misinya memburu gelaran pertama Masters Paris selepas menewaskan musuh lama, Stan Wawrinka untuk mara ke suku akhir, awal pagi tadi.

Bintang Sepanyol itu yang bakal merampas takhta ranking nombor satu daripada Novak Djokovic pada Isnin depan menyempurnakan dua daripada tiga ‘break’ untuk kemenangan ke-19 daripada 22 pertarungan sesama mereka.

Juara grand slam 19 kali itu bakal menentang pemain tuan rumah, Jo-Wilfried Tsonga yang menewaskan pemain Jerman, Jan-Lennard Struff 2-6, 6-4, 7-6(6).

"Saya fikir permainan saya seperti diharapkan tetapi agak sukar mengembalikan hantaran Stan tetapi memang benar dia memiliki servis yang bagus dan sukar dibaca,” kata Nadal.

Kekalahan itu mengakhiri impian Wawrinka untuk layak ke Finals ATP dengan hanya tinggal pemain Perancis, Gael Monfils dan pemain Itali, Matteo Berrettini berpeluang meraih slot terakhir daripada lapan tiket pada kejohanan berlangsung pada 10-17 November ini.

Monfils yang perlu mara ke saingan empat terakhir untuk mengatasi Berrettini dalam memburu misi ke London menewaskan pemain Moldova, Radu Albot 4-6, 6-4, 6-1 dan akan menentang pemain Kanada, Denis Shapovalov pada pusingan berikutnya.

Pilihan utama, Djokovic terpaksa bekerja keras pada set pertama sebelum menewaskan pemain Britain, Kyle Edmund 7-6(7), 6-1 untuk mara ke suku akhir dan pemain Greece, Stefanos Tsitsipas menunggunya selepas pemain muda itu mengatasi cabaran pemain Australia, Alex De Minaur 6-3, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 8:31 AM