GAYA  Djokovic mencium trofi kejohanan di   The AccorHotels Arena,   Paris. - FOTO AFP
GAYA Djokovic mencium trofi kejohanan di The AccorHotels Arena, Paris. - FOTO AFP
AFP

NOVAK Djokovic meraih gelaran kelima Paris Masters selepas mudah menewaskan pemain remaja Kanada, Denis Shapovalov pada final sebentar tadi sekali gus mencerahkan harapan merampas kedudukan ranking nombor satu dunia.

Pilihan utama itu menang 6-3, 6-4 ke atas Shapovalov berusia 20 tahun yang gagal memanfaatkan kelebihan selepas lawannya di separuh akhir, Rafael Nadal menarik diri akibat kecederaan sebelum perlawanan bermula.

Djokovic bakal kehilangan takhta ranking kepada Nadal minggu depan tetapi masih mampu menyamai rekod Pete Sampras dengan enam kali muncul pemain terbaik dunia.

Nadal yang berusia 33 tahun tidak pasti dapat beraksi pada Pusingan Akhir Jelajah ATP di London pada 10 November susulan kecederaan otot perut manakala Djokovic memenangi kejohanan penutup musim sebanyak lima kali.

Djokovic yang tewas kepada pemain Russia, Karen Khachanov pada final Bercy tahun lalu menyelamatkan mata break tunggal sebelum mengesahkan kemenangan keempatnya ke atas pemain nombor 28 dunia, Shapovalov.

Juara Grand Slam 16 kali itu kini memenangi 34 gelaran Masters, kurang satu berbanding Nadal dan 77 gelaran Jelajah ATP secara keseluruhan.

Trofi dimenangi hari ini adalah yang kelima buat Djokovic musim ini selepas Wimbledon, Terbuka AS, Terbuka Madrid dan Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 12:00 AM