MILLER bersalaman bersama  SM Muthu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia.
MILLER bersalaman bersama SM Muthu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia.
Meor Riduwan Meor Ahmad


KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membuat keputusan bijak apabila melantik jurulatih olahraga kelahiran Amerika Syarikat (AS), Dwayne Miller sebagai pengarah teknikal olahraga negara.

Lebih 30 tahun menjadi jurulatih olahraga termasuk di Arab Saudi dan Qatar, pengalaman luas Miller boleh membantu pembangunan atlet elit negara dan juga di peringat akar umbi.

Sekali gus ia mengelakkan pertindihan tugas dan membolehkan jurulatih pecut tempatan termasuk Mohd Poad Kassim serta M Balamurugan meneruskan khidmat melatih atlet masing-masing.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu berkata, pengalaman luas Miller ditagih pihaknya untuk memberi nasihat berkaitan latihan bagi meningkatkan mutu dan prestasi atlet terutama dalam acara pecut, lompat jauh dan lompat kijang selama tiga tahun.

“Memandangkan beliau (Miller) baru tiba dua hari lalu, saya akan berbincang dengannya terlebih dulu mengenai skop tugasannya.

“Dia diberi tempoh percubaan enam bulan untuk melakukan yang terbaik termasuk membentuk persiapan atlet olahraga ke Sukan SEA,” katanya ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Miller di Wisma Majlis Olimpik Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

Sementara itu, Miller mengakui tidak sabar untuk memulakan tugas selepas teruja melihat ramai atlet olahraga berbakat termasuk di peringkat akar umbi di negara ini.

Katanya, untuk bulan pertama fokus akan diberi untuk mengenali atlet olahraga negara terlebih dulu sebelum turun ke lapangan.

“Latihan di trek bukan masalah bagi saya, tapi cabaran untuk menghafal nama atlet yang pelbagai. Daripada kajian yang saya buat, Malaysia memiliki ramai atlet berbakat untuk diketengahkan. Saya teruja untuk bekerja dengan mereka bukan saja atlet elit, malah atlet muda di peringkat akar umbi,” katanya yang turut menemui beberapa atlet senior dan junior negara termasuk jaguh lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail.

Ditanya apa yang boleh dibantu untuk persiapan atlet olahraga ke Sukan SEA dalam tempoh sebulan ini, Miller berkata, dia hanya memberi nasihat teknikal dan tidak akan mencampuri tugas barisan kejurulatihan sedia ada.

Untuk rekod Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik serta dianugerahkan ‘Nike Coach of the Year’ oleh badan induk olahraga Amerika Syarikat pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:30 AM