MUTHU (kanan) bersalaman dengan Miller selepas dilantik sebagai Pengarah Teknikal KOM. FOTO Bernama
MUTHU (kanan) bersalaman dengan Miller selepas dilantik sebagai Pengarah Teknikal KOM. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu menegaskan perlantikan Pengarah Teknikal KOM, Dwanye Miller dari Amerika Syarikat (AS), sebelum ini bukanlah daripada idea beliau.

Menurutnya, beliau hanya meneruskan perancangan oleh presiden terdahulu iaitu Datuk Karim Ibrahim yang ingin menggunakan kepakaran jurulatih dari AS itu.

Justeru, katanya, kegagalan Miller dalam mengendalikan atlet tidak seharusnya diletakkan di bahunya seorang.

"Idea untuk membawa Miller ke Malaysia bukan idea saya. Ia adalah idea Karim semasa dia menjadi presiden KOM.

"Selepas dia kalah, saya hanya meneruskan usaha yang dia tinggalkan. Mereka sudah ikat perjanjian empat tahun dengan Miller, jadi saya tak boleh buat apa-apa.

"Jadi mana boleh saya tolak dia keluar sesuka hati saya sebab dia terikat dengan kontrak," katanya.

Nama Muthu dikaitkan dengan kegagalan Miller dan kegagalan skuad olahraga negara menyumbang pingat dalam acara trek di temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam, bulan lalu.

Ia dikatakan satu pelaburan tidak berbaloi apabila dikhabarkan Miller menerima bayaran gaji sejumlah RM30,000 sebulan.

Sedangkan jumlah itu dilihat lebih baik digunakan untuk melantik jurulatih tempatan yang sudah membuktikan kemampuan sebelum ini seperti Mohd Poad Md Kassim.

Perlantikan Miller berdasarkan trek rekodnya yang pernah membantu pelari pecut AS

Miller pernah meraih anugerah 'Nike Coach of the Year' dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008.

Miller dilantik menjadi pengarah teknikal KOM pada Oktober 2019 dengan khidmatnya ditagih dalam usaha meningkatkan prestasi sedia ada atlet kebangsaan terutama dalam acara pecut, lompat jauh dan lompat kijang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 8:05 PM