Mumtaz Jaafar. FOTO File NSTP
Mumtaz Jaafar. FOTO File NSTP
Azlan Muhammad Zain


BARISAN atlet olahraga negara dijangka mendapat sentuhan jurulatih dari Amerika Syarikat (AS), Dwayne Miller selepas berakhir Kejohanan Dunia pada Oktober nanti.

Perkembangan berkenaan disahkan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Paduka Mumtaz Jaafar berhubung teka-teki kehadiran Miller yang dijangka membantu persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina.

"Saya difahamkan dia akan ke sini selepas Kejohanan Dunia, sudah menandatangani kontrak dan akan membantu persiapan Sukan SEA Filipina.

"Beliau boleh melatih semua atlet pecut, lari berpagar, lompat jauh dan kijang," katanya ketika ditanya mengenai status terbaru Miller.

Kejohanan Dunia dijadual bermula dari 27 September hingga 6 Oktober di Doha, Qatar.

Sebelum ini Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan Miller akan menjalankan tugas sebagai pengarah teknikal dan pada masa yang sama akan bersama ketua jurulatih untuk menyelaraskan program pelbagai disiplin sukan olahraga.

Untuk rekod, Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Miller juga pernah meraih anugerah 'Nike Coach of the Year' dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008.

KOM semalam mengumumkan senarai 26 atletnya bagi kategori A manakala 18 bagi kategori B.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 9:37 PM