MANSHAHAR (kiri) pernah menjadi jurulatih kepada dua atlet lompat bergalah kebangsaan,  Iskandar Alwi dan  Roslinda Samsu.
MANSHAHAR (kiri) pernah menjadi jurulatih kepada dua atlet lompat bergalah kebangsaan, Iskandar Alwi dan Roslinda Samsu.
Aida Adilah Mat


SELEPAS hampir sebulan berteka-teki, akhirnya kekosongan jawatan ketua jurulatih olahraga kebangsaan kini disandang Mohd Manshahar Abdul Jalil.

Ketua jurulatih pelapis negara itu diberi kepercayaan mengemudi barisan atlet menjelang temasya Sukan SEA Filipina, hujung tahun ini dalam mencapai sasaran lapan pingat emas yang ditetapkan.

Pemilihan Manshahar itu dipersetujui sebulat suara dalam satu mesyuarat dipengerusi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Manshahar sebelum ini pernah bergelar jurulatih lompat bergalah kebangsaan dan pernah melatih atlet seperti Iskandar Alwi dan juga Roslinda Samsu.

Bagaimanapun, Muthu menjelaskan Manshahar hanya akan menggalas tugas itu sehingga Sukan SEA Filipina yang mana kedudukan itu akan dikaji semula selepas itu.

"Selepas Sukan SEA, jawatan ketua jurulatih itu akan dibincangkan semula bersama MSN sama ada akan kekal atau tidak. Buat ketika ini ia sudah dipersetujui dan Manshahar akan berkerjasama dengan jurulatih daripada Amerika Syarikat (AS), Dwayne I Miller," katanya.

Pada perkembangan sama, Muthu turut memaklumkan Miller akan bersama skuad olahraga negara sedikit masa lagi.

Perkara itu sudah dipersetujui Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam usaha membantu skuad olahraga negara di temasya Sukan SEA.

"Memang pada mulanya ada segelintir jurulatih tidak bersetuju dengan pelantikan Miller namun selepas diperjelaskanShapawi, mereka dapat menerimanya.

"Miller akan dipertanggungjawabkan untuk semua acara untuk tempoh jangka masa panjang dan prestasinya tidak akan dinilai berdasarkan pencapaian di Sukan SEA nanti," katanya.

Untuk rekod, Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Miller juga pernah meraih anugerah 'Nike Coach of the Year' dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 7:20 PM