MILLER (kiri) dilihat tidak memberi sebarang impak kepada skuad olahraga negara. FOTO Bernama
MILLER (kiri) dilihat tidak memberi sebarang impak kepada skuad olahraga negara. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kegagalan yang paling ketara ketika pentadbiran Datuk SM Muthu adalah untuk menggunakan segala kepakaran Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Dwanye Miller dari Amerika Syarikat (AS) semaksimum mungkin.

Kerajaan membelanjakan hampir RM 1 juta untuk khidmat Miller sepanjang 32 bulan berada di negara ini dengan gajinya dimaklumkan sekitar RM30,000 sebulan dengan jumlah itu dijangka akan bertambah sehingga Disember ini mengikut kontrak yang ditawarkan kepadanya.

Kehadiran Miller dilihat tidak memberi sebarang impak kepada skuad negara. Malah pencapaian skuad olahraga negara di temasya Sukan Sea Hanoi baru-baru ini dilihat sebagai pencapaian terburuk apabila tiada langsung emas disumbangkan dalam acara trek.

Seorang jurulatih tempatan yang enggan dikenali berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) seharusnya membuka mata untuk melihat perkara itu dan adalah wajar jika wang yang dibelanjakan kepada Miller itu digunakan sepenuhnya untuk pembangunan dan memberi peluang kepada lebih banyak jurulatih tempatan.

"Kita mempunyai ramai jurulatih tempatan yang berkualiti. Tapi sebab gaji yang ditawarkan kepada mereka sangat kecil antara punca mereka menolak tawaran berkenaan.

"Bayangkan RM3,000 gaji seorang jurulatih di bandingkan dengan Miller yang dikhabarkan menerima bayaran RM30,000 sebulan.

"Malah jurulatih sambilan seperti jurulatih pecut iaitu Mohd Poad Md Kassim hanya menerima elaun dalam seribu lebih sebulan.

"Tapi berapa ramai yang dia berjaya hasilkan. Bermula dan Badrul Hisyam Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan, Haiqal Hanafi, Muhammad Arsyad Md Saat.

"Kenapalah MSN tak tawarkan kontrak tetap kepada Poad. Jika isu tugasnya sebagai guru menjadi kekangan kenapa mereka tak pinjam dia dari KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan lantik dia sebagai jurulatih tetap pecut," katanya.

Miller dipertanggungjawab untuk mengendalikan barisan pelari pecut selain pelari 400m. Ke mana kelibat pelari seperti Rusleen Zikry Putra Roseli, Luqmanul Hakim Kharirul Akmal, Cheah Yau Chung di temasya Sukan Sea selepas juara Sukan Malaysia (Sukma) dan pemenang rekod Sukma, Muhammad Ilham Suhaimi tidak disambung kontrak.

"Tak boleh nak guna alasan Covid. Sebab semua negara dan semua atlet berdepan situasi yang sama," katanya.

Tegasnya, beliau sendiri tidak faham sistem yang pengajian yang digunakan dan jika alasan mata wang menyebabkan gaji jurulatih luar di bayar lebih tinggi, mengapa tidak ditawarkan dengan tawaran yang berbaloi mengikut gaji semasa negara ini.

Jurulatih kelahiran Amerika Syarikat itu sebelum ini dipertanggungjawabkan mengendalikan skuad pecut, 400 meter, 800 meter dan lari berpagar namun barisan atlet pecut memilih untuk kembali ke pangkuan jurulatih asal masing-masing seperti Khairul dan Haiqal.

Untuk rekod Miller dilantik menjadi pengarah teknikal KOM pada Oktober 2019 dengan khidmatnya ditagih dalam usaha meningkatkan prestasi sedia ada atlet kebangsaan terutama dalam acara pecut, lompat jauh dan lompat kijang.

Untuk rekod, Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Miller juga pernah meraih anugerah 'Nike Coach of the Year' dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 10:40 PM