FARIZAL (dua dari kiri) berjaya memperagakan aksi terbaik meskipun dibolosi empat kali. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
FARIZAL (dua dari kiri) berjaya memperagakan aksi terbaik meskipun dibolosi empat kali. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jika bukan disebabkan ketangkasan penjaga gol negara, Farizal Marlias di pintu gawang negara, kemungkinan kekalahan lebih besar boleh menimpa skuad Harimau Malaya ketika tumbang 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal pagi tadi.

Sekurang-kurangnya hampir tiga percubaan merbahaya berjaya dinafikan Farizal yang boleh dijulang antara pemain paling menyerlah dalam aksi keenam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai itu.

Ia diakui pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang menganggap penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berjaya memperagakan aksi terbaik meskipun dibolosi empat kali.

Malah, aksi kemas pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools turut mendapat pujian Yusoff sepanjang aksi itu.

"Itu sebab saya cakap awal tadi, sehingga 80 minit permainan kita boleh bagi kredit kepada pertahanan, di mana kita cuma bolos satu gol hingga minit ke-80.

"Sudah tentu kita melihat Farizal ada membuat menyelamatkan dua tiga percubaan yang merbahaya dan Cools juga memainkan peranan yang kita harapkan," katanya pada sidang media secara maya semalam.

UAE yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri membuka akaun jaringan menerusi Ali Mabkhout pada minit ke-14 hasil larian bijak dari tengah padang yang memerangkap pertahanan negara.

Walaupun ketinggalan pada awal permainan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe bagaimanapun berjaya menyerap segala asakan bertali arus tuan rumah dengan Farizal sibuk menghalang percubaan lawan.

Begitupun, tempoh 10 minit terakhir jelas menjadi mimpi ngeri buat skuad Harimau Malaya apabila dibolosi tiga gol hasil jaringan Fabio Lima di minit ke-83 sebelum anak buah Bert van Marwijk meledak dua lagi gol pada masa tambahan masing-masing menerusi Ali dan Lima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 6:13 PM