PEMAIN Celta Vigo, Nestor Alejandro Araujo (dua dari kiri) kecewa selepas percubaannya tersasar. FOTO/AFP
PEMAIN Celta Vigo, Nestor Alejandro Araujo (dua dari kiri) kecewa selepas percubaannya tersasar. FOTO/AFP
Reuters

REAL Madrid memulakan kempen La Liga musim ini dengan bergaya dengan menewaskan Celta Vigo 3-1 di tempat lawan awal pagi tadi menerusi rembatan jauh Toni Kroos, biarpun pemenang Ballon d’Or Luka Modric dibuang padang kerana layangan kad merah.

Karim Benzema meletakkan Madrid di depan pada minit ke-12 selepas aksi mantap di bahagian sayap oleh Gareth Bale yang diberikan peluang dalam kesebelasan utama susulan kecederaan Eden Hazard, biarpun sebelum ini status masa depan pemain itu dianggap kabur.

Jaringan penyamaan Celta pada akhir separuh masa pertama dibatalkan akibat ofsaid selepas ulasan video tetapi mereka memanfaatkan teknologi sama pada minit ke-56 apabila Modric dihukum kerana menghentak butnya ke tumit Denis Suarez.

Skuad tuan rumah gagal memanfaatkan kelebihan pemain apabila pemain tengah Jerman Kroos menggandakan kelebihan Madrid lima minit kemudian menerusi rembatan kencang manakala pemain gantian Lucas Vazquez menambah jaringan ketiga pada minit ke-80 menerusi hantaran Benzema.

Celta akhirnya meraih gol saguhati pada minit terakhir apabila pemain berusia 18 tahun, Losada menjaringkan gol dua minit selepas diturunkan pada penampilan pertamanya.

Persembahan itu mempamerkan kebangkitan skuad Zinedine Zidane selepas aksi hambar musim lalu di mana kelab itu mengharungi musim mengecewakan dalam semua kejohanan dengan tiga pengurus selain kempen pra-musim yang tidak menjadi apabila hanya meraih dua kemenangan daripada tujuh perlawanan.

“Kami perlu lupakan segala-galanya pada masa lalu, tidak boleh mengeluh dengan keputusan sebelum ini, kami bermula dari awal dengan sepenuh tenaga dan yakin mampu menang semua kejohanan,” kata kapten Madrid Sergio Ramos.

“Ini cara terbaik untuk memulakan kempen, terutamanya dengan spekulasi sepanjang pra-musim. Kami cuba untuk tidak terkesan dengan semua itu dan fokus untuk memberikan aksi terbaik dan kami berhak mendapat keputusan seperti ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 10:38 AM