BENZEMA meledak gol pertama di Stadium Alfredo Di Stefano, Madrid. FOTO AFP
BENZEMA meledak gol pertama di Stadium Alfredo Di Stefano, Madrid. FOTO AFP
AFP

Madrid: Real Madrid mengelak daripada tersingkir awal dalam saingan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Atalanta 3-1 pagi tadi dan menang dengan agregat 4-1 untuk mara ke suku akhir kali pertama dalam tempoh tiga tahun.

Sergio Ramos yang kembali beraksi selepas pulih kecederaan meledak penalti selepas Karim Benzema membuka tirai jaringan hasil kesilapan penjaga gol Atalanta, Marco Sportiello.

Luis Muriel merapatkan kedudukan buat pelawat tujuh minit sebelum tamat perlawanan namun pemain gantian, Marco Asensio mengesahkan kemenangan Madrid dengan gol ketiga.

Dengan barisan 'kuda tua' yang masih tangkas, skuad Zinedine Zidane berharap dapat mara lebih jauh lagi bagi menebus kekecewaan sejak beberapa tahun lalu dalam saingan Eropah.

"Malam ini kami tunjukkan pasukan ini masih dahagakan kejayaan," kata Luka Modric. "Kami mampu mara lebih jauh. Berapa jauh, tunggu sahaja tetapi kemenangan ini adalah langkah penting.''

Ramos hanya beraksi kurang sejam dalam aksi keduanya sejak pulih kecederaan lutut manakala jaringan Benzema yang kelapan dalam semua pertandingan dan ke-70 di Liga Juara-Juara sekaligus pemain kelima mencatat angka itu.

Modric yang berusia 35 tahun dan Toni Kroos mempamerkan aksi cemerlang dengan ketiadaan Casemiro yang digantung perlawanan.

"Saya rasa seperti 27!" gurau Modric. "Tahun tercatat di pasport tidak kira, ia mengenai apa anda lakukan di atas padang.''

Sejauh mana keupayaan pemain veteran Madrid menentang pasukan lebih agresif belum diketahui selepas mereka disekat Manchester City tahun lalu dan Ajax tahun sebelumnya.

Kad merah Remo Freuler dan gol lewat menghampakan Atalanta di Bergamo dan sekali lagi kesilapan individu daripada Sportiello dan Rafael Toloi yang menghadiahkan penalti mengecewakan mereka di Madrid.

"Kami bermula garang dan terus menekan mereka,'' kata Muriel. "Ia memalukan kerana dua kesilapan kami memberikan mereka dua gol dan sukar untuk pemain saya bangkit selepas itu.''

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 7:56 AM