PENYERANG United Alexis Sanchez (kanan) menyekat pemain tengah Real Madrid Dani Ceballos (kiri) di Hard Rock Stadium, Florida, USA. FOTO/AFP
PENYERANG United Alexis Sanchez (kanan) menyekat pemain tengah Real Madrid Dani Ceballos (kiri) di Hard Rock Stadium, Florida, USA. FOTO/AFP
AFP

MIAMI, Amerika Syarikat: Jose Mourinho akhirnya mempunyai alasan untuk kembali tersenyum mengenai jelajah pramusim Manchester United di sini selepas skuad kendaliannya melakar kemenangan 2-1 ke atas Real Madrid pada aksi terakhir, sebentar tadi.

Gol kemenangan ke atas juara Eropah dari Sepanyol yang pernah dibimbingnya dijaringkan oleh dua tonggak senior, Alexis Sanchez dan Ander Herrera pada babak pertama.

Mourinho tampil dengan watak menyedihkan sepanjang kunjungan kelab itu ke Amerika Syarikat selama dua minggu dengan mengkritik aktiviti United ketika jendela perpindahan selain ketiadaan ramai tonggaknya.

Disebabkan kempen La Liga Sepanyol bermula seminggu lebih awal berbanding Liga Perdana Inggeris, pengurus baharu Real, Julen Lopetegui menyenaraikan tonggaknya Gareth Bale dalam kesebelasan utama tetapi bintang Jerman, Toni Kroos direhatkan.

Real hampir menewaskan penjaga gol United, David de Gea yang membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama jelajah AS pada minit kelapan tetapi rembatan Karim Benzema tersasar.

Di hadapan 64,141 penonton di Stadium Hard Rock, Miami, United membuka tirai jaringan menerusi Sanchez pada minit ke-18 berpunca daripada gerakan Herrera dan Matteo Darmian.

Kelebihan itu kemudian ditambah sembilan minit kemudian menerusi Herrera kali ini menerusi gerakan dimulakan Juan Mata dan Sanchez.

Pada masa kecederaan babak pertama, Benzema tidak mensia-siakan peluang untuk menewaskan De Gea tetapi tiada tambahan jaringan dapat disaksikan sepanjang separuh masa kedua memberikan United kemenangan pertama di AS mengikut peraturan 90 minit masa permainan.

Selepas diratah Liverpool 1-4, kemenangan itu jelas melegakan sedikit Mourinho yang kehilangan 12 pemain tonggaknya sepanjang kempen pramusim di AS susulan Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 12:52 PM