BALE (kanan) pamer aksi cemerlang pada aksi menentang Celta. FOTO/AFP
BALE (kanan) pamer aksi cemerlang pada aksi menentang Celta. FOTO/AFP
Reuters

JURULATIH Zinedine Zidane berkata Gareth Bale akan kekal di Real Madrid musim ini selepas penyerang Wales itu mempamerkan aksi meyakinkan ketika menang 3-1 di Celta Vigo awal pagi tadi selepas mengharungi ketidak tentuan sepanjang musim panas ini.

Bale mencipta jaringan pembukaan Madrid yang disempurnakan Karim Benzema menerusi gerakan pantas di bahagian sayap kiri dan sering memberi ancaman buat Celta selain menyumbang kepada pertahanan Madrid.

Kroos kemudiannya melebarkan penguasaan pelawat dengan jaringan hebat selepas Luka Modric dibuang padang buat Madrid, manakala Lucas Vazquez menjaringkan gol ketiga selepas itu.

Bale tidak dijangka untuk kekal di ibu negara Sepanyol musim ini selepas ‘bertelagah’ dengan Zidane ketika pra-musim dengan jurulatih itu secara terbuka memberitahu Bale dijangka meninggalkan kelab itu malah berkata: “Jika dia pergi esok, lebih baik.”

Dia dilaporkan menyertai kelab China Jiangsu Suning pada Julai tetapi perpindahan itu dibatalkan dan peluangnya terus bersama pasukan semakin cerah apabila rakan penyerang Marco Asensio mengalami kecederaan lutut yang serius.

Sebaik pendatang baharu Eden Hazard diketepikan selama tiga minggu kerana mengalami masalah otot pada Jumaat, ia semakin mencerahkan peluang Bale untuk beraksi.

Bagaimanapun Zidane berkata beliau memang berniat untuk memilih Bale menentang Celta dan berkata penyerang itu tidak akan meninggalkan kelab dalam masa terdekat.

“Dia akan kekal dan kami perlu memikirkannya sebagai sesuatu yang positif,” kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 1:48 PM