ASENSIO (kiri) meraikan jaringannya bersama Vazquez. FOTO AFP
ASENSIO (kiri) meraikan jaringannya bersama Vazquez. FOTO AFP
AFP

Madrid: Real Madrid melonjak di tangga teratas La Liga selepas mencatat kemenangan 2-0 di halaman sendiri ke atas Celta Vigo.

Lucas Vazquez menanduk masuk hantaran Marco Asensio minit ke-6, seminit selepas pertahanan Real, Nacho menafikan percubaan berbahaya penyerang Celta, Iago Aspas.

Vazquez kemudian menjadi watak penting kepada gol Marco Asensio minit ke-53.

"Sebelum perlawanan kami sudah menyatakan bahawa jika kami melakukan serangan balas, kami boleh memusnahkan lawan dan ia berlaku hari ini," kata Asensio.

Real bangkit daripada keputusan seri dengan Elche, Rabu lalu untuk melonjak di tangga teratas dengan kelebihan satu mata.

Bagaimanapun pasukan tangga kedua, Atletico Madrid beraksi kurang tiga perlawanan berbanding Real dan berpeluang untuk kembali merampas kedudukan teratas.

"Selepas keputusan seri dengan Elche kami mahu menunjukkan aksi lebih agresif," kata Vazquez.

Dengan Real Madrid dilihat menguasai perlawanan, jurulatih Zinedine Zidane mengeluarkan Asensio, Luka Modric, Dani Carvajal, Toni Kroos dan Karim Benzema.

"Hari ini kami beraksi dengan baik bermula minit pertama sehingga tamat perlawanan. Aksi liga masih panjang dan kami perlu kekal fokus," kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 8:14 AM