Khairul jalani pembedahan di Sepanyol. FOTO NSTP
Khairul jalani pembedahan di Sepanyol. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi selamat menjalani pembedahan kali kedua di tangan kanannya susulan daripada kecederaan yang dialami ketika Grand Prix Sepanyol, Mei lalu.

Khairul menjalani pembedahan berkenaan di Hospital Universiti Dexeus di Barcelona dengan proses pembedahan selama dua jam itu diketuai oleh Dr Xavier Mir.

Ia adalah proses pembedahan bagi memasukkan skru di jari kanan pelumba yang mendapat gelaran Super KIP itu.

"Khairul melalui proses pembedahan di jari telunjuknya tiga bulan lalu dan setakat ini proses pemulihan berjalan dengan baik apabila struktur jarinya sudah sembuh.

"Pembedahan kali kedua kini adalah untuk membantu pembinaan semula tulang," katanya. Khairul akan pulang ke Malaysia bagi menjalani proses pemulihan dan diharap dapat beraksi semula secepat mungkin.

"Terima kasih kepada Dr Mir dan pasukannya kerana berjaya melakukan pembedahan kedua ini.

"Saya menghargai usaha semua pihak dalam membantu saya untuk kembali cergas sepenuhnya," katanya.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu cuba untuk kembali beraksi pada Grand Prix (GP) Republik Czech awal bulan lalu namun dia gagal melakukannya apabila mengalami kesakitan ketika sesi latihan bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 4:55 PM