Pasini (kanan) akan menggantikan Khairul Idham selaku pelumba sementara PETRONAS Sprinta Racing. FOTO NSTP/AFP
Pasini (kanan) akan menggantikan Khairul Idham selaku pelumba sementara PETRONAS Sprinta Racing. FOTO NSTP/AFP
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA berpengalaman dari Itali, Mattia Pasini diumum pengganti sementara Khairul Idham Pawi untuk mengendalikan jentera Moto2 pasukan PETRONAS Sprinta Racing.

Khairul atau Super KIP dijangka tidak dapat beraksi antara enam sehingga lapan minggu selepas mengalami kecederaan retak jari kelingking kanan pada Grand Prix (GP) Sepanyol di Jerez, minggu lalu.

Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, Pasini adalah pelumba terbaik menggantikan tempat Khairul.

"Pertamanya dia seorang pelumba berpengalaman dan kompetitif.

"Keduanya, dia dapat membantu membangunkan jentera Moto2 kami.

Ketiganya, ingin saya tekankan meskipun saya lebih cenderung untuk memilih pelumba Malaysia, setakat ini kami tidak mempunyai pelumba yang dapat beraksi dengan kompetitif pada saingan Moto2," katanya.

Tegas Razlan, apa paling penting ketika ini adalah mempunyai pelumba yang pantas serta berpengalaman untuk memberi suntikan motivasi kepada pasukan.

"Kami percaya Pasini dapat memenuhi kriteria itu.

Saya berharap Khairul dapat segera pulih dengan dia dijangka akan kembali beraksi pada Grand Prix Catalunya," katanya.

Pasini, 33 membuat penampilan pertama di Kejohanan Motosikal Dunia pada 2004 dengan beraksi dalam empat kelas berbeza iaitu 125cc, 250cc, Moto2 dan MotoGP.

Dia meraih 12 kemenangan, 19 petak depan dan 18 lagi podium sepanjang 228 perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 1:46 PM