SERENA berjabat tangan dengan Marie selepas tamat perlawanan di  Aviva Centre, Toronto. - AFP
SERENA berjabat tangan dengan Marie selepas tamat perlawanan di Aviva Centre, Toronto. - AFP
AFP

SERENA Williams kental mengatasi cabaran pemain kelayakan dari Czech, Marie Bouzkova sebelum menang 1-6, 6-3, 6-3 untuk mara ke final WTA Toronto, awal pagi tadi.

Serena pilihan kelapan yang juga juara tiga kali kejohanan akan menentang pemain harapan tuan rumah, Bianca Andreescu esok.

Serena memburu gelaran pertama sejak menjuarai Grand Slam ke-23 di Terbuka Australia 2017 dan yang pertama sejak melahirkan anak pertama, Olympia pada 1 September tahun yang sama.

Bianca pula yang berusia 19 tahun berusaha menjadi pemain Kanada pertama dalam masa 51 tahun menjulang trofi itu.

Marie, 21, yang kini berada di ranking ke-91 dunia sebelum ini berkata, aksi menentang bintang tenis Amerika Syarikat berusia 37 tahun itu seperti mimpi menjadi nyata kepadanya.

Dia mencemaskan lawan jauh lebih berpengalaman itu dengan tiga kali mematahkan servis sebelum menang set pertama dalam masa kurang setengah jam.

Tetapi Serena bangkit di set kedua dengan mengurangkan kesilapan yang menyaksikan dia menang empat permainan terakhir bagi mendesak mata penentuan.

"Saya hanya perlu konsisten dan kurangkan kesilapan," katanya yang kini teruja menentang Bianca yang mendapat sokongan padu penonton di Toronto.

"Saya tak pernah menentangnya tetapi saya perlu waspada apatah lagi dia mendapat sokongan padu penyokong sendiri,” kata Serena.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 12:14 PM