SHAKIR (tengah) bersaing dengan pemain Negeri Sembilan, Igor Luiz di Paroi, malam ini. — FOTO BERNAMA
SHAKIR (tengah) bersaing dengan pemain Negeri Sembilan, Igor Luiz di Paroi, malam ini. — FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


KEDAH bermula langkah kanan apabila menewaskan Negeri Sembilan 3-1 pada aksi pembuka tirai saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Juara Piala FA itu kelihatan garang dengan permainan kemas apabila melakukan asakan menerusi rangkaian penyerang Zaquan Adha Radzak, Fernando Rodriguez dan Jonatan Bauman.

Ketika Negeri Sembilan dilihat mula menyusun rentak, tuan rumah dikejutkan dengan gol awal pelawat menerusi Rodriguez pada minit keempat.

Pemain import tinggi lampai itu yang tidak dikawal menanduk masuk hantaran lintang Azammudin Akil sekali gus menewaskan Kaharuddin Abdul Rahman.

PEMAIN Negeri Sembilan, Almir (dua kiri) berebut bola dengan Rizal Ghazali (dua kanan). — FOTO BERNAMA
PEMAIN Negeri Sembilan, Almir (dua kiri) berebut bola dengan Rizal Ghazali (dua kanan). — FOTO BERNAMA

Kedah mengukuhkan kedudukan apabila Shakir Hamzah meledak gol kedua pelawat pada minit ke-72 menerusi tendangan kencang dari sebelah kiri pintu gol.

Ferris Danial Mat Nasir kemudiannya merapatkan jurang menerusi gol pertama Negeri Sembilan pada minit ke-78.

Namun Kedah tidak mampu digugat apabila meraih sepakan penalti selepas Matheus Vila mengasari pemain gantian Farhan Roslan pada minit ke-83.

Bauman tidak berdepan masalah untuk menewaskan Kaharuddin menerusi sepakan penalti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 11:40 PM