RODRIGUEZ (dua kiri) mengatasi penjaga gol Negeri Sembilan untuk gol kedua Kedah. — FOTO Sharul Hafiz Zam
RODRIGUEZ (dua kiri) mengatasi penjaga gol Negeri Sembilan untuk gol kedua Kedah. — FOTO Sharul Hafiz Zam
Izzali Ismail


HASRAT Kedah untuk mengungguli Kumpulan A saingan Piala Malaysia menjadi kenyataan apabila membenam Negeri Sembilan 4-2 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan Kedah muncul juara kumpulan dengan 13 mata, diikuti Terengganu FC 12 mata. Mereka akan berdepan naib juara Kumpulan B pada suku akhir.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-17 hasil percubaan pemain sayap Farhan Roslan yang menewaskan penjaga gol lawan Kaharuddin Abdul Rahman selepas menyempurnakan hantaran Edgar Bernhardt.

Asakan Negeri Sembilan membuahkan hasil pada minit ke-34 apabila Igor Carneiro menolak masuk selepas menyudahkan hantaran Jose Almir dari sayap kiri susulan satu serangan balas pantas.

PERTAHANAN Kedah, Rizal Ghazali (kanan) bersaing dengan pemain Negeri Sembilan, Matheus Vila di Stadium Darul Aman. — FOTO Bernama
PERTAHANAN Kedah, Rizal Ghazali (kanan) bersaing dengan pemain Negeri Sembilan, Matheus Vila di Stadium Darul Aman. — FOTO Bernama

Seminit sebelum rehat, Kedah kembali mendahului dan kali ini penyerang Fernando Rodriguez tidak mensia-siakan peluang meledak gol hasil hantaran Jonathan Bauman.

Pelawat yang bangkit melakar kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini bagaimanapun menyamakan kedudukan sekali lagi pada minit ke-65 menerusi rembatan kencang Feris Danial Mat Nasir yang menewaskan penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim.

Kedah kembali bangkit apabila pemain gantian Fayadh Zulkifli merembat masuk gol ketiga pada minit ke-77 selepas dua percubaan pertama Bauman terkena benteng Negeri Sembilan.

Pemain tengah Bernhardt melengkapkan kemenangan besar tuan rumah apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90 selepas dia dijatuhkan oleh penjaga gol pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 11:29 PM