Pemain Kedah, Fernando Rodriguez Ortega  (kanan) cuba merampas bola daripada pemain Terengganu FC, Nasrullah Haniff Johan pada aksi Liga Super. FOTO Amran Hamid.
Pemain Kedah, Fernando Rodriguez Ortega (kanan) cuba merampas bola daripada pemain Terengganu FC, Nasrullah Haniff Johan pada aksi Liga Super. FOTO Amran Hamid.
Izzali Ismail


KEDAH menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 dalam aksi Liga Super, di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Kemenangan itu melonjakkan kembali semangat skuad Lang Merah yang pada malam ini dikendalikan oleh Penolong Ketua Jurulatih Victor Andrag.

Gol pembukaan Kedah dijaringkan oleh pemain import, Jonatan Bauman yang menyempurnakan penalti pada minit ke-24 selepas pemain sayap Farhan Roslan dijatuhkan pertahanan TFC.

Tuan rumah menambah gol kedua menerusi Zaquan Adha pada minit ke-32 selepas menerima hantaran Farhan.

TFC kendalian penolong ketua jurulatih Mohd Nik, cuba bangkit dengan percubaan menarik oleh pemain import Sanjar Shaakmedov pada minit ke-33 namun penjaga gawang Ifwat Akmal lebih bersedia menangkap kemas bola itu dan kedudukan gol kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan TFC hampir mencipta gol pertama apabila hantaran ke bawah Kedah berjaya disambar pemain Sanjar Shaakhmedov namun kepantasan Shakir Hamzah berjaya mematahkan serangan.

Pemain import TFC Kipre Tcheche turut terlepas peluang mencipta gol pada minit ke-66 apabila percubaannya sekadar melencong ke sebelah kiri gawang Kedah.

Kedah menambah derita TFC menerusi rembatan cantik Fernando Rodriguez minit ke-72. Kedudukan itu kekal sehingga tamat masa perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 11:21 PM