Ronaldo (kiri) jual rumah mewahnya di Geres kepada Pepe. FOTO Youtube/REUTERS
Ronaldo (kiri) jual rumah mewahnya di Geres kepada Pepe. FOTO Youtube/REUTERS
Agensi

CRISTIANO Ronaldo mengalami kerugian £1.25 juta (RM6.2j) selepas menjual rumah agam miliknya kepada rakan sepasukan antarabangsa Portugal, Pepe.

Superstar Juventus itu memiliki beberapa hartanah mewah tetapi menurut laporan media Britain, dia mengambil keputusan menjual rumahnya yang terletak di lereng bukit di negaranya itu kepada rakan sepasukan biarpun mengalami kerugian.

Rumah yang terletak dalam hutan di Geres, turut dilengkapi pad helikopter mendarat.

Ia dibeli pada harga hampir £3.5j (RM18j) oleh pemenang lima kali Ballon d'Or itu tujuh tahun lalu.

Hartanah Geres mempunyai kawasan seluas 800 meter kaki persegi, termasuk pemandangan menarik menghadap sungai Cavado.

Perbincangan antara Ronaldo dan Pepe itu bagaimanapun sudah dipersetujui sebelum pasukan kebangsaan negara itu menjulang gelaran Liga Negara Eropah.

Pepe pernah beraksi bersama Ronaldo di Real Madrid, kini kembali ke negaranya selepas menyertai Porto sebaik meninggalkan kelab Turki, Besiktas.

Geres menjadi destinasi popular yang menjadi tumpuan pengurus serta pemain superstar dari Portugal membeli hartanah di kawasan itu.

Antara yang membeli hartanah di kawasan itu adalah bekas bos Manchester United, Jose Mourinho dan ejen bolasepak terkenal, Mino Raiola.

Ronaldo mengambil serius urusan membabitkan hartanah ketika tidak beraksi di padang, jadi dia tidak hairan melihat rumah yang turut mendapatkan sentuhan ideanya kini dimiliki oleh rakan rapatnya iaitu Pepe.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 8:10 PM