RUMAH dan hartanah milik Ronaldo. FOTO Instagram Ronaldo
RUMAH dan hartanah milik Ronaldo. FOTO Instagram Ronaldo
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Cristiano Ronaldo adalah salah seorang atlet terkaya di dunia, selepas memperoleh banyak wang susulan persembahan hebatnya di tengah padang, selain meraih perjanjian kontrak tajaan lumayan dan melabur pendapatannya dengan bijak.

Kebanyakan kekayaan Ronaldo adalah dalam bentuk hartanah dengan penyerang bola sepak Portugal itu memiliki aset di seluruh pelosok dunia.

Dia dipercayai merancang pembinaan sebuah rumah agam selepas persaraan di Cascais di pantai Portugal, namun buat masa ini dia mempunyai lapan rumah di seluruh dunia.

Kebanyakan pemain bola sepak yang tinggal di Madrid mempunyai hartanah di La Finca, satu bandar kejiranan di utara Madrid. Ronaldo seorang daripadanya dan rumahnya adalah salah satu yang terbesar di kompleks itu, yang mana Gareth Bale, Eden Hazard, Toni Kross, Diego Simeone dan Zinedine Zidane turut memiliki rumah masing-masing.

Pangsapuri paling mahal di Lisbon, ibu negara Portugal adalah milik Ronaldo dengan bintang Manchester United itu membeli hartanah mewah di Avenida de Liberdade pada 2019. Ia dipercayai berharga sekitar 7 juta euro (RM33.4 juta).

Rumah pangsa yang amat mahal itu bukan satu-satunya harta Ronaldo di ibu negara Portugal. Dia juga diketahui memiliki sebuah flat di kawasan Rua Castilho di Lisbon.

Salah satu hartanah Ronaldo yang paling berprofil tinggi adalah kondominium tiga bilik tidur yang dimilikinya di Menara Trump di Manhattan, Amerika Syarikat dengan perabot mewah dan pemandangan yang memukau.

Di Pulau Madeira, tempat Ronaldo dilahirkan, dia memiliki blok apartmen tujuh tingkat di Funchal. Di sinilah ibunya banyak menghabiskan masa.

Ramai pemain bola sepak memiliki hartanah di Costa del Sol dan Ronaldo juga tidak berbeza. Di situ, dia memiliki rumah agam mewah dengan kolam renang yang canggih.

Geres terletak di barat laut Portugal dan di situlah ramai selebriti serta ahli perniagaan pergi untuk berehat. Sudah tentu, Ronaldo juga memiliki harta di situ.

Apabila dia menandatangani kontrak dengan Juventus pada 2018, Ronaldo membeli hartanah rahsia di pinggir Turin. Tidak banyak yang diketahui mengenai hartanah itu, namun pemain itu dipercayai masih memilikinya, walaupun meninggalkan Serie A selepas tiga musim untuk kembali menyertai United.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 6:17 PM