RONALDO
RONALDO
Agensi

London: Cristiano Ronaldo dilaporkan diarah meruntuhkan binaan 'haram' dan gelanggang tenis di salah sebuah kediaman mewahnya berharga £2.3 juta (RM13 juta) di utara Portugal.

Penyerang sensasi Manchester United berusia 36 tahun itu perlu berbuat demikian selepas kediamannya di Geres itu menyalahi peraturan ditetapkan majlis bandaran yang mengundang kritikan daripada Datuk Bandar, Manuel Tibo.

"Dia mengemukakan kepada kami projek yang diluluskan," kata Tibo. "Tetapi kemudiannya dia melanggar peraturan dengan membina bangunan tambahan di luar daripada had yang dibenarkan."

KEDIAMAN Ronaldo di tepi sungai di Geres, Portugal. FOTO Agensi
KEDIAMAN Ronaldo di tepi sungai di Geres, Portugal. FOTO Agensi

Ronaldo yang masih dihantui kekalahan besar 0-5 kepada Liverpool pada Ahad lalu diberi tempoh oleh pihak berkuasa sehingga Mac tahun depan untuk meruntuhkan gelanggang tenis berkeluasan 3,200 kaki persegi dan binaan sambungan terbabit.

Ia bukan kali pertama dia berdepan masalah sama tahun ini selepas terpaksa meruntuhkan gazebo di penthousenya yang bernilai £6.5 juta (RM37 juta) di Lisbon bulan lalu selepas berdepan tindakan undang-undang.

Difahamkan Ronaldo telah menjual kediamannya di Geres kepada Pepe, bekas rakan sepasukan di Real Madrid dan Portugal namun pihak berkuasa tempatan mengesahkan ia masih di bawah nama pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:20 PM