Nidzam yakin berdasarkan komitmen pemain. FOTO NSTP
Nidzam yakin berdasarkan komitmen pemain. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


STATISTIK empat perlawanan di gelanggang sendiri dan hanya dua ditempat lawan memberi kelebihan buat Melaka mengharungi saingan Kumpulan D Piala Malaysia bermula 4 Ogos depan.

Penolong jurulatih Melaka, Nidzam Adzha Yusoff berkata, jika empat aksi berkenaan mampu dimenangi sudah pasti langkah ke suku akhir bakal menjadi kenyataan.

Katanya, kelebihan terbabit berdasar PDRM yang juga dalam kumpulan sama turut menggunakan Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebagai gelanggang tuan rumah.

“Sementara dua lagi aksi di Stadium Shah Alam bertemu Selangor dan FELDA United di Jengka bakal melengkapkan aksi kumpulan berkenaan.

"Jika dua pertemuan di tempat lawan mampu dimenangi atau sekurang-kurangnya dua mata pastinya statistik terbabit memihak kepada Melaka,"katanya.

Apapun keyakinan itu diluahkan Nidzam berdasarkan komitmen pemain dan prestasi memberangsangkan pasukan ketika ini.

Menurutnya, walaupun diramal mampu mengisi satu slot daripada kumpulan itu namun ianya bukan jalan mudah untuk melakukannya tanpa persefahaman jitu dalam semua aspek termasuk ketika mengatur gerakan menyerang dan bertahan.

Baginya, apa yang melegakan berikutan corak permainan itu kini sudah menjadi teras buat semua yang diturunkan termasuk kesebelasan pertama atau pemain gantian.

Malah, hakikatnya mereka kini berada di landasan sebenar untuk bersaing di Piala Malaysia kali ini bermula 4 Ogos berdepan The Cops dan The Red Giants pada 8 Ogos di Paya Rumput.

Nidzam berkata, dia amat gembira dan positif dengan perkembangan terbabit sekali gus membolehkan percaturan yang dibentuk ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan bakal diterjemahkan dengan baik oleh pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 7:47 PM