FARAH Ayuni kembali perkasa gawang Grinstead.
FARAH Ayuni kembali perkasa gawang Grinstead.
Saiful Affendy Sapran


REPUTASI skuad hoki wanita negara semakin menyerlah apabila lebih separuh daripadanya berjaya memikat kelab Eropah untuk beraksi di liga utama mereka.

Daripada senarai 18 pemain negara yang beraksi di Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland Utara bulan lalu, seramai 12 pemain sudah menerima tawaran untuk beraksi di kelab-kelab utama seperti East Grinstead (England) dan Wespen Zehlendorfer serta Bremer HC (Jerman).

Ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua pemain itu kini hanya menunggu pelepasan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

"Daripada 12 pemain itu, hanya tiga pemain belum menerima surat tawaran tetapi sudah mendapat persetujuan secara lisan semalam.

"Kesemua mereka perlu mendapatkan surat NOC (Sijil Tiada Bantahan) dari MHC. Selaku jurulatih, sudah pasti saya berasa bangga kerana barisan pemain negara semakin mendapat tempat di Eropah," katanya.

Antara pemain yang mendapat tawaran adalah penjaga gol utama negara, Farah Ayuni Yahya yang kembali ditagih Grinstead serta pakar pukulan sudut penalti, Nuraini Rashid.

Penyerang utama negara, Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti turut kembali ditagih Wespen bersama Raja Norsharina Raja Shabuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 10:02 PM