FARAH AYUNI YAHYA
FARAH AYUNI YAHYA
Saiful Affendy Sapran

LIMA pemain skuad wanita negara yang sebelum ini beraksi di liga luar negara, mendapat lampu hijau daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk kembali menyambung khidmat mereka bagi tempoh dua bulan lagi bersama kelab masing-masing.

Kelima-lima pemain itu adalah pakar pukulan sudut penalti, Nuraini Abdul Rashid dan penjaga gol utama skuad negara, Farah Ayuni Yahya yang beraksi bersama kelab Divisyen Utama England, East Grinstead HC dari Februari sehingga April.

Tiga lagi ialah Julaini Mohamad Din, Nuramirah Shakirah Zulkifli dan Nurmaizatul Hanim Syafi yang beraksi bersama kelab Jerman, Bremer Hockey Club bermula 13 April hingga 15 Jun.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, beliau kini dalam fasa perbincangan bersama beberapa kelab di England dan berusaha menjalinkan kerjasama dengan kelab lain di Eropah serta Asia bagi menghantar pemain wanita mahupun lelaki.

“MHC mempunyai perancangan untuk menghantar lebih ramai pemain beraksi di luar malah usaha itu tidak hanya tertumpu kepada pemain senior lelaki dan wanita tetapi kami juga merancang untuk menghantar pemain remaja.

“Kami percaya dengan memberikan peluang kepada pemain remaja terutamanya untuk berkelana bersama kelab antarabangsa, ia akan membantu mereka menjadi pemain yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 7:41 AM