PENJAGA Gol Skuad Hoki Wanita Negara, Farah Ayuni Yahya (kanan) menjalani latihan di Stadium Tun Razak, Jalan Duta. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENJAGA Gol Skuad Hoki Wanita Negara, Farah Ayuni Yahya (kanan) menjalani latihan di Stadium Tun Razak, Jalan Duta. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad hoki negara, Farah Ayuni Yahya hampir pasti akan beraksi bersama pasukan East Grinstead HC, di liga utama England.

Kini apa yang diperlukan untuk penjaga gol terbaik Asia itu adalah menunggu pengesahan Sijil Tiada Halangan (NOC) daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk diserahkan kembali ke kelab itu.

Ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, selepas itu katanya, segala urusan akan selesai dan Farah boleh beraksi di kelab itu yang menamatkan saingan musim lalu di kedudukan empat terbaik.

"Pihak kelab sudah pun mengemukakan surat tawaran dan ia sudah diserahkan kepada MHC. 

"MHC perlu mengeluarkan surat NOC yang perlu diserahkan semula kepada kelab menyatakan tiada sebarang halangan untuk Farah beraksi di England.

"Ini adalah prosedur biasa bagi mana-mana pemain yang mahu beraksi di luar negara," katanya.

Jika semuanya berjalan lancar, Farah akan beraksi di East Grinstead HC dari 22 September sehingga 25 November depan.

East Grinstead HC berminat untuk mendapatkan Farah selepas penjaga gol utama negara itu menyelamatkan tiga penalti stroke ketika Malaysia bertemu England di saingan Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, April lalu.

Selain menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik musim lalu, pasukan itu juga dibarisi beberapa pemain utama yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Great Britain.

Sebelum ini, tujuh pemain skuad kebangsaan sudah dilamar pasukan luar. 

Mereka adalah Raja Sharina Raja Shabuddin, Surizan Awang Noh dan Nuraslinda Said yang ke Glasgow, Scotland mewakili pasukan Uddingston.

Manakala, Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti bersama Wespen Zehlendorfer yang bersaing dalam saingan utama Liga Jerman. 

Nuraini Rashid dan Fatin Shafika Sukri pula ke Itali beraksi bersama bersama  Butterfly Roma Hockey Club.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 7:14 PM