DHAARMA mahu anak buah fokus menghadapi Final Siri Hoki di Dublin pada Jun ini.
DHAARMA mahu anak buah fokus menghadapi Final Siri Hoki di Dublin pada Jun ini.
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR:  Empat tonggak skuad hoki negara yang beraksi bersama kelab Eropah terpaksa melupakan hasrat untuk kembali mengharungi baki saingan liga di sana selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memutuskan tidak melepaskan mereka bagi memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Final Siri Hoki di Dublin pada Jun ini.

Khidmat penyerang Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti masih ditagih Wespen Zehlendorfer dari liga utama Jerman manakala Nuraini Rashid dan Fatin Syafika Mahd Sukri juga ditawarkan lanjutan kontrak selepas memperagakan prestasi cemerlang bersama Butterfly Roma di Itali.

Namun, ketua jurulatih negara, Dhaarma Raj Abdullah berkata, selepas lebih sebulan merancang perjalanan barisan Malaysian Tigress pihaknya mencapai keputusan bersama MHC untuk menolak tawaran berkenaan atas alasan yang tidak dapat dielakkan.

"Memang kedua-dua kelab (Wespen dan Butterfly) ada menghubungi saya masing-masing melalui wakil pemain lelaki kita di sana iaitu Kevin Lim dan S Selvaraju.

"Tetapi kita terpaksa menolaknya oleh kerana Kejohanan Jemputan Empat Negara yang kita rancang pada awal April ini bertembung dengan jadual pusingan kedua Liga Jerman dan Itali yang bermula pada Mac hingga Mei depan.

"Ia juga tidak masuk akal untuk kita tidak menurunkan pemain tonggak bagi menghadapi Kejohanan Jemputan Empat Negara itu yang menjadi antara medan persiapan terakhir sebelum ke Dublin," katanya.

Selain Kejohanan Jemputan Empat Negara membabitkan negara-negara kuasa besar hoki Asia itu, pasukan ranking ke-21 dunia itu turut terikat dengan perancangan menghadapi aksi pemanas badan di Eropah sebelum saingan kelayakan Olimpik itu menyingkap tirainya pada 8 Jun ini.

Walaupun perkara itu masih dalam penelitian akhir Majlis Sukan Negara (MSN) dari segi kelulusan bajet, namun dikhabarkan jika menjadi kenyataan Malaysia bakal ke sana lebih awal dua minggu bagi menjalani empat aksi pemanas badan di Itali serta dua aksi dengan skuad kebangsaan Scotland.

"Saya berharap MSN dapat luluskan permintaan ini kerana dari segi bajet kita berjaya jimatkan beberapa kos asal selepas Itali dan Scotland masing-masing sanggup menyediakan tempat penginapan kerana mereka juga mahu melakukan persiapan untuk Final Siri Hoki," kata Dhaarma.

Kini hanya tinggal kedudukan Farah Ayuni Yahya yang masih menjadi tanda tanya selepas dia yang membawa cabaran sebagai penjaga gol utama East Grinstead HC dalam saingan liga premier England berdepan kekangan masa untuk beraksi dalam Kejohanan Jemputan Empat Negara sekiranya bersetuju kembali ke England.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 4:10 PM