AKSI Neymar memanaskan badan, kelmarin. - FOTO Agensi
AKSI Neymar memanaskan badan, kelmarin. - FOTO Agensi
Agensi

BARCELONA dilapor menawarkan £90 juta (RM463 juta) dan dua pemain lain kepada Paris Saint-Germain untuk mendapatkan penyerang Brazil, Neymar.

Kelab Sepanyol itu menyenaraikan enam pemain yang boleh dipilih PSG sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Philippe Coutinho, Ousmane Dembele, Ivan Rakitic, Nelson Semedo dan Malcom termasuk dalam senarai dengan pemain keenam tidak diketahui, menurut Sky Sports.

Neymar melahirkan hasratnya mahu meninggalkan PSG dengan sumber pada awal minggu ini mendakwa pertukaran pemain dan bayaran tunai adalah pilihan terbaik kepada kedua-dua pihak.

PSG menerima hasrat pemain berusia 27 tahun itu tetapi mahu mendapatkan semula nilai £198 juta (RM1.03 bilion) yang dibayar untuk mendapatkannya pada 2017.

Bagaimanapun, Barca enggan membayar jumlah penuh dan menegaskan sebarang pembayaran hendaklah ditangguh sehingga Julai 2020.

Selepas membayar £108 juta (RM556 juta) mendapatkan Antoine Griezmann, Barca menawarkan yuran lebih rendah dengan pilihan dua pemain sebagai menepati peraturan kewangan ‘fair play’.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:21 AM