Terengganu mahu ketepi rekod buruk di Shah Alam. FOTO NSTP
Terengganu mahu ketepi rekod buruk di Shah Alam. FOTO NSTP
Malik Muhamad


REKOD buruk di tempat lawan sebelum ini tidak menjadi masalah besar kepada pemain.

Itu reaksi pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menjelang pertembungan dengan PKNS FC di Stadium Shah Alam, esok.

Beliau percaya anak buahnya tidak sesekali gentar beraksi di stadium itu dan mampu memperbaiki rekod bertemu skuad Semut Merah di gelanggang keramat mereka.

Musim lalu skuad Penyu mudah diratah 4-0 pada aksi Liga Super pusingan kedua di Stadium Shah Alam.

Kali terakhir TFC menang ke atas PKNS FC adalah pada 2014 manakala enam pertemuan selepas itu menyaksikan tiga kekalahan dan tiga keputusan seri.

"Bagi saya itu hanyalah rekod sebelum ini dan apa yang penting adalah persembahan 11 lawan 11 pemain di padang malam esok.

"Kami percaya pemain mampu menewaskan mana-mana pasukan jika meraka beraksi dengan baik," ujar Nafuzi Zain pada sesi latihan di Padang C, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semalam.

Nafuzi akan melakukan rombakan ke atas pemainnya selepas pertahanan tengah, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris tidak dapat diturunkan kerana digantung perlawanan.

Selain itu, Nafuzi berkata beberapa pemain utamanya juga masih bergelut kecederaan termasuk penyerang, Ashari Samsuddin, Khairul Anwar Shahrudin dan pemain tengah, Khairu Azrin Khazali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 4:08 PM