TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. FOTO Zunnur Al Shafiq
TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. FOTO Zunnur Al Shafiq
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Penubuhan badan bebas Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) mampu meningkatkan mutu pengadilan bola sepak tempatan yang selalu menjadi pertikaian dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi menjelaskan menerusi badan bebas itu juga akan melahirkan pengadil tempatan profesional.

Yusoff menjelaskan, fokus utama PMOM adalah untuk meminimumkan kesilapan yang dilakukan pengadil tempatan ketika mengadili perlawanan Liga-M.

“Kami perlu akui mutu pengadilan Liga-M selalu menjadi pertikaian, itu sebabnya kami berusaha sebaik mungkin mencari jalan penyelesaian masalah ini.

“Kami nak tingkatkan mutu pengadilan supaya boleh diterima peminat. Kami nak kurangkan kelemahan yang ada dengan melihat apa faktor penyebab mutu pengadilan tidak mencapai tahap yang boleh diterima penyokong.

“Jadi usaha ini dibuat FAM dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) untuk memastikan mutu pengadilan berada pada tahap maksimum. Mungkin bukan tahap sempurna kerana di mana-mana liga pun mutu pengadilan tidak sempurna.

“Apa yang diusahakan FAM dan MFL ini sebagai satu langkah proaktif supaya kami mampu menghasilkan pengadil berkaliber,” katanya.

Yusoff bersama Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid mengadakan pertemuan bersama Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) di England, Ahad lalu.

Ia bagi mendapatkan gambaran lebih jelas serta kepakaran daripada badan induk pengadil profesional Liga Perdana Inggeris dalam meningkatkan kualiti pengadilan Liga-M.

Selain itu, Yusoff menjelaskan mereka akan menggunakan ‘ilmu’ yang diperoleh daripada pertemuan bersama PGMOL dalam usaha menyediakan acuan terbaik sistem PMOM yang sesuai dengan Liga-M.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 9:09 PM