ABDUL Hamid  (kiri) bersama Pengarah Teknikal Kejurulatihan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Lee Jae-Hyung pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa bekerja sukan memanah, minggu lalu.  - FOTO Saifullizan Tamadi
ABDUL Hamid (kiri) bersama Pengarah Teknikal Kejurulatihan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia, Lee Jae-Hyung pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa bekerja sukan memanah, minggu lalu. - FOTO Saifullizan Tamadi
Azlan Muhammad Zain

SKUAD memanah negara berdepan cabaran sengit di Kejohanan Dunia di Belanda bulan depan terutamanya dalam merebut tiket Olimpik Tokyo yang dipertaruhkan.

Seramai 610 pemanah dari 92 negara sudah mengesahkan penyertaan, jumlah terbesar dalam sejarah 88 tahun kejohanan dengan 372 akan bersaing dalam acara recurve manakala 238 bagi compound.

"Saya akui dengan jumlah penyertaan tinggi saingan pasti sengit dan mencabar namun kita sudah menetapkan sasaran dan berharap ia dapat direalisasikan.

"Bagi kategori lelaki, kita mahu meneruskan tradisi layak ke Olimpik menerusi acara berpasukan sejak kali pertama pada edisi 2008," kata Setiausaha Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan.

Bagi wanita, ia usaha kali pertama untuk trio negara layak menerusi acara berpasukan selepas edisi 2004 (Mon Redee Sut Txi) dan 2012 (Nurul Syafiqah Hashim) yang mara menerusi acara individu.

Bagi kategori recurve, seramai 211 pemanah lelaki dan 161 wanita akan bersaing namun format pertandingan menyaksikan hanya 104 atlet serta 24 pasukan akan mara ke saingan utama.

Terdapat 56 tiket Olimpik disediakan dengan lapan pasukan terbaik bagi recurve lelaki dan wanita selain empat pemanah terbaik bagi kategori individu akan diberikan kepada negara yang tidak layak menerusi acara berpasukan.

Tiket Olimpik di Kejohanan Dunia yang berlangsung di ’s-Hertogenbosch dari 10 hingga 16 Jun diberikan atas nama negara yang bermaksud atlet yang bakal bersaing di Tokyo boleh ditukar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 10:21 PM