HANIS Nazirul  (kanan) dan  Jellson harapan masa depan skuad terjun negara.
HANIS Nazirul (kanan) dan Jellson harapan masa depan skuad terjun negara.
Ferzalfie Fauzi

PENERJUN senior negara, Leong Mun Yee puas hati dengan prestasi penerjun muda seperti Hanis Nazirul Jaya Surya dan Jellson Jabillin, sekali gus yakin kedua-dua atlet berkenaan mampu mencipta kejayaan pada masa akan datang.

Paling dekat dengan Mun Yee adalah pasangannya, Hanis Nazirul apabila kedua-dua mereka sudah beraksi lebih daripada lima kali di peringkat antarabangsa dalam acara 10 meter platform seirama campuran.

Menurut penerjun berusia 35 tahun itu, persefahaman antara dia bersama Hanis Nazirul semakin mantap terutama selepas aksi di Siri Terjun Dunia Kazan dan London.

"Saya rasa dari segi keseragaman kami di London lebih baik berbanding di Kazan minggu lalu namun masih ada lagi perkara harus dipertingkatkan," kata Mun Yee ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Dia yang pernah meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia 2009, mengakui penerjun muda negara perlu meningkatkan tahap darjah kesukaran di kejohanan antarabangsa kerana Malaysia masih lagi ketinggalan dari segi perkara berkenaan.

Dalam acara 10m platform seirama campuran di London hujung minggu lalu, gandingan Hanis Nazirul-Mun Yee menduduki tempat terakhir namun dari segi pungutan mata berjaya menunjukkan peningkatan.

Di Kazan sebelum ini mereka menduduki tempat kelima dengan meraih 278.40 mata, manakala Sabtu lalu mereka meraih tempat keenam tapi berjaya memperoleh 288.12 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 9:55 PM