HANIS (kanan) bersama Jellson menunjukkan peningkatan.
HANIS (kanan) bersama Jellson menunjukkan peningkatan.
Ferzalfie Fauzi


JURULATIH terjun negara, Christian Brooker mengakui gandingan anak buahnya, Hanis Nazirul Jaya Surya-Jellson Jabillin menunjukkan peningkatan ketika beraksi dalam acara 10 meter platform seirama lelaki di Siri Terjun Dunia di London kelmarin.

Menurut pengendali kelahiran Australia itu, walaupun Hanis Nazirul-Jellson sekali lagi menduduki tempat terakhir seperti minggu lalu di Kazan, Russia namun secara keseluruhan ia lebih baik untuk aksi kali ini.

“Lebih baik berbanding minggu lalu. Terjunan terakhir mereka tidak cemerlang namun secara keseluruhan keseragaman mereka sangat baik,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Penerjun muda negara itu mengumpul 364.98 mata, minggu lalu mereka hanya memperoleh 334.26 mata.

Emas kali ini milik gandingan Great Britain Thomas Dale-Matthew Lee yang meraih 477.9, manakala tempat kedua diraih Yang Hao-Lian Junjie (China) selepas mengumpul 459, manakala gangsa digondol penerjun Russia, Viktor Minibaev-Aleksandr Bondar (448.5).

“Saya sudah bercakap dengan semua penerjun sebaik tiba di London bahawa berikan yang terbaik walaupun keletihan dan kurang motivasi kerana ia akan memperkuatkan mental mereka jika beraksi di kejohanan besar.

“Jika dapat beraksi ketika keletihan dan kurang motivasi, bayangkan bertapa mudahnya mereka memberikan terjunan cemerlang ketika di puncak prestasi,” kata Brooker.

Ditanya mengenai sasaran buat Hanis Nazirul-Jellson untuk musim ini, Brooker menjelaskan bahawa kedua-dua penerjun itu diletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tujuh terbaik di Kejohanan Dunia.

“Ia akan membuka peluang buat mereka untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan syarat beraksi cemerlang di Piala Dunia tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 8:31 PM