Mun Yee dan Hanis Nazirul hampir lakukan kejutan. FOTO NSTP
Mun Yee dan Hanis Nazirul hampir lakukan kejutan. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Gandingan penerjun senior dan pelapis, Leong Mun Yee-Hanis Nazirul Jaya Surya hampir melakukan kejutan dalam acara 10 meter seirama campuran di Siri Terjun Dunia di Sagamihara, Jepun hari ini.

Mun Yee-Hanis pada satu ketika menduduki tempat kedua pada dua pusingan berturut-turut, sebelum menamatkan saingan di tempat kelima selepas mengumpul 311.10 mata.

Pada pusingan pertama mereka menduduki tempat kedua meraih 52.20 mata dan mengekalkan kedudukan selepas terjunan kedua dengan mencatat 53.40 mata.

Bagaimanapun, mereka tergelincir di tempat keempat selepas terjunan ketiga dan berada di tempat kelima selepas melakukan dua terjunan terakhir.

Pingat emas dalam acara itu dimenangi Lian Junjie-Si Yajin dari China yang mengumpul 360.33 mata manakala perak milik Nikita Shleikher-Luliia Timoshinina (Russia) selepas meraih 334.59 mata. Atlet tuan rumah, Minami Itahashi-Kazuki Murakami menduduki tempat ketiga selepas mengumpul 325.50 mata.

Pada sebelah pagi, Pandelela Rinong terkandas di peringkat separuh akhir dan gagal untuk bersaing di final acara 10m platform individu wanita yang membabitkan enam peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 10:00 PM