Pemain Melaka United, Mohd Nazrin Mohd Nawi (tengah) meraikan jaringan. FOTO NSTP
Pemain Melaka United, Mohd Nazrin Mohd Nawi (tengah) meraikan jaringan. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


JURULATIH FELDA United, Mohd Nidzam Jamil mengakui persembahan pasukannya sangat teruk dan serba tak menjadi sehingga membuka ruang Melaka United (MU) membelasah skuad itu 6-0.

Apapun dia mengakui bertanggungjawab atas persembahan longgar skuadnya di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi sehingga tuan rumah jelas kelihatan terlalu perkasa buat anak didiknya.

Menurutnya, tiada alasan termasuk pemain tidak cukup rehat, jadual padat dan kecederaan menjejaskan aksi sebaliknya ia disebabkan kelemahan persembahan.

“Saya menafikan menyimpan pemain sebagai strategi mengharungi saingan separuh akhir Piala FA.

“Saingan itu masih jauh (lebih 40 hari lagi) dan saya tidak perlu menyimpan mana-mana pemain bagi menghadapinya,” katanya menyifatkan keseluruhan persembahan sangat-sangat teruk.

Katanya, dia terpaksa menurunkan beberapa pemain akademi kelab mengharungi perlawanan sebesar itu untuk pendedahan pengalaman namun bersimpati dengan keputusan perlawanan dilalui mereka.

Namun, dia juga pelik berikutan beberapa pemain yang memiliki banyak minit beraksi bersama pasukan namun tampil lemah dalam perlawanan berkenaan sehingga lawan mudah merobek gawang pasukan.

Baginya dia sememangnya tidak gembira dengan keputusan terbabit, tambahan tewas dengan pasukan sama di gelanggang sama dengan jaringan 2-6 pada persembahan Piala Malaysia musim lalu.

Bagaimanapun hakikatnya dia mengharapkan deretan ramai pemain dalam senarai kecederaan termasuk Hadin Azman, Jasazrin Jamaluddin, Khairul Amri Mohammad Kamal dan Wasaki Watanabe segera kembali pulih untuk membarisi skuadnya selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 2:55 PM