AFP

Paris: Alexander Zverev (gambar), pemain yang dilihat berpotensi muncul juara Terbuka Perancis, tersingkir pada pusingan pertama kelmarin ketika pemain nombor satu dunia Andy Murray dan bekas juara Stanislas Wawrinka meneruskan kemaraan.

Zverev, baru berusia 20 tahun dan mengatasi Novak Djokovic untuk mengungguli Masters Rome baru-baru ini, tumpas 4-6, 6-3, 4-6, 2-6 di tangan pemain Sepanyol, Fernando Verdasco, yang tua 13 tahun berbandingnya.

“Saya bermain dengan teruk sekali, itulah sebabnya saya tewas,” kata Zverev.

“Tapi kehidupan diteruskan, ia bukannya satu tragedi. Di Rome saya bermain dengan fantastik, saya memenangi kejohanan itu. Di sini saya bermain teruk, saya kalah pada pusingan pertama. Itulah yang berlaku.”

Dalam perlawanan yang secara kontroversi ditangguhkan kelmarin ketika terikat satu set, Zverev kecundang disebabkan kesilapannya sendiri.

Pemain Jerman itu melakukan 50 unforced errors dan diejek penonton di gelanggang Philippe Chatrier apabila dia melahirkan kekecewaan dengan menghempas raketnya ke gelanggang tanah liat.

Pemain kidal Verdasco, yang beraksi kali ke-14 di Roland Garros dan kejuaraan utama ke-56 berturut-turut, tewas kepada Zverev pada pusingan pertama kejohanan gelanggang tanah liat di Madrid awal tahun ini.

Namun dia seorang pesaing Grand Slam berpengalaman, mara ke pusingan 16 terakhir di Paris sebanyak lima kali.

“Saya berlatih dengan keras sebelum perlawanan ini menentang seorang pemain hebat seperti Alexander,” ujar Verdasco yang akan bertemu pemain Perancis, Pierre-Hugues Herbert pada pusingan kedua.

“Mungkin kerana pengalaman saya. Anda perlu bersedia secara emosi dan fizikal kerana ia mungkin perlawanan yang panjang.”

Murray, naib juara 2016 di tangan Djokovic, mengatasi kesukaran set kedua sebelum menundukkan pemain Russia, Andrey Kuznetsov 6-4, 4-6, 6-2, 6-0.

“Dia bertindak baik dengan setiap pukulannya, dia bermain sangat agresif dan kekal konsisten di garisan belakang. Dia memukul bola dengan hebat,” kata Murray, yang tidak menunjukkan tanda-tanda terjejas kerana demam sebelum kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 9:16 AM