JASAZRIN ketika menjalani sesi latihan. FOTO Ihsan FUFC
JASAZRIN ketika menjalani sesi latihan. FOTO Ihsan FUFC
Asrol Awang


Kuantan: Pemain tengah Felda United FC, Jasazrin Jamaluddin percaya pasukan itu akan kekal bersaing dalam saingan Liga Super musim depan.

Biarpun perlu mengharungi cabaran getir berdepan Terengganu FC (TFC) dan Selangor, Jasazrin bersama rakan sepasukan akan berusaha untuk mengutip mata maksimum pada baki dua perlawanan terakhir liga itu.

"Fokus kami sekarang ialah untuk menewaskan TFC di Jengka, Maran Sabtu ini. Selepas itu baru kami memikirkan pertemuan dengan Selangor pada perlawanan terakhir Liga Super.

"Kami tidak boleh tewas kepada TFC dalam usaha menambah kutipan mata memandangkan Felda United berada di kedudukan kedua tercorot liga.

"Saya harap situasi getir ini tidak dihadapi sekali lagi seperti musim lalu apabila penentuan nasib Felda United hanya diketahui pada perlawanan terakhir liga.

"Sebab itu kami perlu menang ke atas TFC untuk kekal selamat buat seketika sebelum berdepan Selangor nanti kerana pasukan seperti PJ City FC dan Sabah juga mahu menang untuk mengelak tersingkir," katanya.

Mengulas kegagalan Felda United mencatat kemenangan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka sebaik liga bersambung, Jasazrin mengharapkan keputusan perlawanan akan berpihak kepada kelab itu Sabtu ini.

"Kami tewas kepada UiTM FC dan Kedah serta seri dengan Pahang, sudah pasti kami mahu mengutip tiga mata bertemu TFC.

"Oleh itu kami akan mengerah seluruh tenaga terutama memperkasakan pasukan untuk memastikan misi kemenangan tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 5:18 PM