HAMILTON terpaksa bekerja dengan jurutera baharu. — FOTO EPA
HAMILTON terpaksa bekerja dengan jurutera baharu. — FOTO EPA
AFP

LEWIS Hamilton mendedahkan jurutera perlumbaannya ditukar untuk bekerja dengan rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas selepas dia diatasi pemandu Finland itu dalam kedua-dua sesi latihan Grand Prix Sepanyol di Litar Catalunya, semalam.

“Ia bantuan yang amat bagus buatnya – dan dia banyak belajar daripadanya,” kata juara dunia lima kali itu mengenai perpindahan Riccardo Musconi ke garaj Bottas.

“Perkara yang saya lakukan dengan pelarasan – yang mana bekas jurutera saya kini memberi tunjuk ajar kepadanya – sudah pasti membantunya ke landasan yang betul. Jadi, ia sudah tentu dijangka.

“Saya kini mempunyai jurutera baru. Kami bekerjasama dengan baik, tapi ia mengambil masa untuk membina hubungan. Ia tidak sekuat dengan sesuatu yang dibentuk lebih enam tahun.”

BOTTAS ungguli kedua-dua sesi latihan bebas GP Sepanyol. — FOTO AFP
BOTTAS ungguli kedua-dua sesi latihan bebas GP Sepanyol. — FOTO AFP

Penjelasan Hamilton mengenai kepantasan Bottas dan keupayaannya mendahului kejuaraan pemandu pada awal musim hadir selepas pemandu Finland itu menyerlah dan mengungguli catatan masa kedua-dua sesi.

Musconi dinaikkan pangkat untuk menjadi jurutera perlumbaan Bottas menggantikan Tony Ross yang berpindah ke pasukan Formula E Mercedes.

Kehadirannya secara kebetulan menyaksikan peningkatan prestasi Bottas, dua kemenangan dalam empat perlumbaan dan pendahulu kejuaraan di depan Hamilton, yang hanya ketinggalan 0.049 saat pada sesi latihan kedua semalam ketika dua pemandu Silver Arrows bersaing membuktikan keunggulan.

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc dan Sebastian Vettel satu saat di belakang di tangga ketiga dan keempat di depan Max Verstappen dari Red Bull.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 1:10 PM