BOTTAS (kanan) menjulang trofi kemenangan di podium sambil disaksikan Vettel di Suzuka, hari ini. — FOTO AFP
BOTTAS (kanan) menjulang trofi kemenangan di podium sambil disaksikan Vettel di Suzuka, hari ini. — FOTO AFP
Reuters

VALTTERI Bottas merakam kemenangan pada Grand Prix Jepun hari ini ketika Mercedes memastikan kejuaraan pengeluar Formula Satu buat kali keenam berturut-turut.

Pemandu Finland itu melepasi garisan penamat 11.3 saat di depan Sebastian Vettel, yang bermula dari petak utama namun Ferrari ternyata tidak mampu menyaingi Mercedes, sekalipun dia berjaya mengalahkan Lewis Hamilton yang menduduki tangga ketiga.

Keputusan itu membantu Mercedes melonjak 177 mata di depan Ferrari, membolehkan mereka menyamai rekod enam kejuaraan pengeluar berturut-turut, dengan maksimum 176 mata daripada empat perlumbaan masih menjadi pertaruhan.

Ia juga memastikan Mercedes kejuaraan pemandu, dengan hanya Bottas mampu mencabar Hamilton, yang kini mendahului 64 mata dalam kedudukan keseluruhan.

Mercedes menyamai rekod Ferrari, yang menang enam kejuaraan pengeluar antara 1999-2004.

HAMILTON (tengah kiri) dan Bottas (tengah kanan) dari Mercedes AMG Petronas meraikan kejayaan bersama pasukan. — FOTO EPA
HAMILTON (tengah kiri) dan Bottas (tengah kanan) dari Mercedes AMG Petronas meraikan kejayaan bersama pasukan. — FOTO EPA

“Bermula di petak ketiga tidak pernah mudah di sini tapi tiada gunanya berputus asa,” kata Bottas selepas meraih kemenangan ketiga musim ini dan yang pertana sejak GP Azerbaijan, April lalu.

“Saya mempunyai kereta yang amat bagus dan Sebastian berdepan masalah, jadi bagus untuk berada di depan.

“Amat bangga dengan pasukan, enam kejuaraan berturut-turut terlalu mengagumkan.”

Ferrari dilihat mampu menangguhkan hasrat Mercedes meraikan kejuaraan awal selepas menguasai barisan hadapan pada sesi kelayakan pagi tadi.

BOTTAS muncul pemandu pertama melepasi garisan penamat di Suzuka. — FOTO Reuters
BOTTAS muncul pemandu pertama melepasi garisan penamat di Suzuka. — FOTO Reuters

Namun kedua-dua pemandu petak utama Vettel dan rakan sepasukannya Charles Leclerc berdepan masalah ketika permulaan perlumbaan.

“Lampu dinyalakan tapi ia kesilapan saya (pada permulaan),” kata Vettel, pemenang empat kali di Suzuka.

“Mercedes terlalu sukar dikejar, mereka mempunyai kepantasan berbanding kami dan Valtteri amat memukau.

“Saya tidak gembira dengan permulaan perlumbaan, tapi selainnya bagus, cuma kekurangan sedikit kepantasan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 6:05 PM