SEU Bock harap pemain muda mampu bersinar di Bangkok. -Foto fail
SEU Bock harap pemain muda mampu bersinar di Bangkok. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


KETUA jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock menjelaskan anak buahnya yang rata-rata berusia 18 hingga 20 tahun kecuali Soniia Cheah, harus menggunakan peluang keemasan untuk menonjolkan diri di Piala Uber di Bangkok minggu depan.

Menurutnya, jika melihat dari segi usia, Lee Ying Ying (20), S Kisona (19) dan Goh Jin Wei (18), memang sangat berbeza berbanding Soniia (24), namun ia hanyalah angka.

“Bagi perseorangan wanita, hanya Soniia saja yang berusia lebih 20 tahun manakala yang lain masih muda. Namun ia bukan bererti ketiga-tiga pemain berkenaan perlu menunggu dua tahun atau edisi selepas ini untuk menyinar,” katanya ketika ditemui di hari terakhir latihan pusat Piala Uber di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.

Jelasnya, ketiga-tiga pemain berkenaan harus menghargai peluang yang terhidang tanpa perlu memikirkan peluang lain pada masa akan datang.

“Jika mereka tidak menghargai masa yang diberikan sekarang, benda yang sama juga akan berlaku (tidak berjaya menonjol di Piala Uber).

“Mereka tidak perlu menunggu dua atau tiga tahun lagi. Ini kerana ada yang fikir mereka masih muda. Masa tidak akan menunggu kita. Jika sekarang boleh maju buat apa perlu menunggu untuk edisi seterusnya,” kata Seu Bock.

Ditanya mengenai kekuatan pemain lawan terutamanya di bahagian perseorangan, Seu Bock mengakui beliau sudah mengkaji kelebihan tonggak dari Indonesia, China dan Perancis yang diundi dalam Kumpulan D bagi saingan peringkat kumpulan Piala Uber.

“Sekarang terpulang kepada pemain selepas mereka berpeluang menguji gelanggang di Bangkok. Saya juga akan membuat percaturan perseorangan pertama, kedua dan ketiga sebaik tiba di sana nanti,” katanya.

Selain keempat-empat pemain perseorangan wanita itu, turut tampil memperkuatkan skuad ialah enam pemain beregu termasuk ketua pasukan, Vivian Hoo, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Soong Fie Cho, Tee Jing Yi dan Goh Yea Ching.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 7:05 PM