SEU Bock (kanan) belum ada senarai pemain untuk  kelayakan Piala Uber.
SEU Bock (kanan) belum ada senarai pemain untuk kelayakan Piala Uber.
Ferzalfie Fauzi


SEBAIK bermula musim 2018, pemain perseorangan wanita negara dijangka akan bekerja keras terutama dalam usaha untuk menambat hati ketua jurulatih, Datuk Tey Seu Bock bagi pemilihan ke kelayakan Piala Uber Februari depan.

Menurut Seu Bock, pemain perseorangan wanita akan dipilih berdasarkan tiga kejohanan awal bulan depan iaitu Masters Thailand, Malaysia dan Indonesia.

“Kita belum ada senarai pemain untuk perseorangan wanita dan perlu menunggu tiga kejohanan awal untuk 2018 sebelum membuat keputusan siapa bakal mewakili negara ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (kelayakan Piala Uber),” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Setakat ini, dua pemain perseorangan wanita yang dilihat tidak berdepan sebarang masalah untuk mengetuai skuad kelayakan Piala Uber ialah pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Soniia Cheah dan juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei.

“Sebenarnya untuk pemilihan pemain ketiga dan keempat juga saya akan memilih dari skuad sedia ada, mereka juga masih muda dalam lingkungan 20 hingga 22 tahun.

“Jadi saya mengharapkan di Masters Thailand, Malaysia dan Indonesia ini mereka mampu memberikan persembahan terbaik.

“Jadi siapa yang bagus saya akan pilih mereka. Dalam masa sama kita juga ada berbincang dengan bahagian beregu wanita kerana memerlukan kerja sepasukan. Dalam seminggu kita akan berlatih bersama,” kata Seu Bock.

Ditanya mengenai tekanan, beliau mengakui ia memang akan dirasai kerana tidak berada pada kedudukan automatik dari segi kedudukan ranking negara.

“Untuk melayakkan diri dengan mara ke separuh akhir juga agak sukar kerana bakal berdepan dengan pasukan kuat seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Thailand. Dalam masa sama Taiwan dan India juga mempunyai skuad mantap.

“Jadi saya harap pemain saya mampu untuk beraksi cemerlang di tiga kejohanan awal nanti untuk membantu menaikkan ranking negara.

“Sebenarnya kita kena cuba kedua-dua cara untuk melayakkan diri, tidak semestinya dari segi ranking kita perlu menyerah kalah, saya mengharapkan pemain seperti Jin Wei dapat membantu,” katanya.

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia akan berlangsung di Alor Setar 6 hingga 11 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 12:38 PM