KONTINJEN  Malaysia meraikan kejayaan  memenangi 11 pingat emas  acara  trek Sukan Sea 2017 di Velodrom Nasional Nilai.
KONTINJEN Malaysia meraikan kejayaan memenangi 11 pingat emas acara trek Sukan Sea 2017 di Velodrom Nasional Nilai.
Azlan Muhammad Zain

BELUM bermula namun kontinjen negara sudah ‘tempang’ bertandang ke Sukan SEA Filipina apabila kehilangan 70 dari 145 emas yang diraih semasa temasya berlangsung di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Perkembangan berkenaan disahkan ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2019,  Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang menyaksikan Malaysia kehilangan separuh daripada kutipan emas semasa muncul juara keseluruhan edisi ke-29. 

"Masih terlalu awal untuk kita umumkan sasaran namun saya lihat semua sukan berpotensi menyumbang kepada negara. Kita ke sana dengan reputasi sebagai juara keseluruhan dua tahun lalu namun sudah kehilangan 70 emas berdasarkan kutipan diraih sebelum ini.

"Kita belum melihat secara keseluruhan untuk membolehkan sasaran kali ini ditetapkan. Jadi buat masa sekarang kita tidak boleh memberikan angka (sasaran) atau kedudukan keseluruhan kontinjen negara," katanya.

Filipina menyenaraikan 56 jenis sukan pada edisi ke-30 dengan mempertandingkan 529 acara secara keseluruhan dengan beberapa sukan yang menjadi lubuk emas di Malaysia tidak dipertandingkan atau jumlah acara dikurangkan seperti berbasikal trek, terjun, pencak silat dan kriket.

Dua tahun lalu, Malaysia merangkul 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa untuk muncul juara keseluruhan, jauh meninggalkan pencabar terdekat Thailand yang meraih 72 emas manakala Filipina sekadar kedudukan keenam dengan 24 emas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 10:01 PM