HAALAND penjaring berbisa City.
HAALAND penjaring berbisa City.
AFP

Manchester, United Kingdom: Manchester City berpeluang meningkatkan tekanan ke atas Arsenal dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila skuad Pep Guardiola menyasarkan kemenangan ke-10 berturut-turut menentang Leicester di Etihad tengah malam esok.

Jurang enam mata milik Arsenal di puncak liga bakal mungkin berkurangan separuh menjelang kunjungan mereka ke West Ham pada Ahad.

Aston Villa pula mengintai peluang dalam persaingan kelompok empat teratas apabila pasukan di tangga ketiga Newcastle berkunjung ke Villa Park.

Manchester United turut mahu mengukuhkan impian ke Liga Juara-Juara musim depan apabila menentang Nottingham Forest di tempat lawan.

Juara bertahan EPL, City dijangka tidak berdepan masalah menentang Leicester di Etihad berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pasukan.

Dean Smith bakal mengendalikan Foxes kali pertama selepas sembilan perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan yang meletakkan mereka di tangga kedua tercorot EPL.

City sebaliknya meledak 34 gol ketika meraih sembilan kemenangan terakhir termasuk membelasah Bayern Munich 3-0 kelmarin.

Walaupun ketinggalan di puncak, persaingan memburu gelaran tampak memihak City yang beraksi kurang perlawanan berbanding Arsenal selain menerima kunjungan Gunners pada 26 April.

Erling Haaland meledak gol ke-45 musim ini ketika menentang Bayern dan bintang Norway itu mampu mencipta beberapa rekod lagi.

Haaland hanya perlukan dua lagi jaringan untuk menyamai rekod EPL milik Salah yang menjaringkan 32 gol dalam 38 perlawanan semusim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 10:26 AM