AKSI Silva menjaringkan gol pertama City. - FOTO Reuters
AKSI Silva menjaringkan gol pertama City. - FOTO Reuters
AFP

MANCHESTER City semakin hampir mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Manchester United 2-0 awal pagi tadi sekali gus memintas Liverpool dengan kelebihan satu mata di puncak liga dengan baki tiga perlawanan.

Jaringan Bernardo Silva dan Leroy Sane pada babak kedua di Old Trafford menyaksikan kekalahan ketujuh dalam sembilan perlawanan United yang menduduki tangga keenam dengan 64 mata.

City kini menang 11 aksi liga berturut-turut dan kemenangan seterusnya ke atas Burnley, Leicester dan Brighton akan menamatkan impian Liverpool untuk menjuarai Liga Perdana dalam tempoh 29 tahun.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer melakukan lima pertukaran ke atas skuadnya yang dimalukan Everton 4-0 pada Ahad lalu dan hasilnya prestasi lebih bertenaga dan komited walaupun City jelas lebih berkualiti.

Bagaimanapun nasib sama menimpa Arsenal di Wolves bermakna Red Devils masih berpeluang merebut slot kelayakan Liga Juara-Juara jika berjaya mengatasi Chelsea di tempat sendiri pada Ahad ini.

Guardiola hanya melakukan tiga pertukaran daripada kesebelasan yang membalas dendam ke atas Tottenham yang menyingkirkan mereka dalam aksi Liga Juara-Juara tetapi keputusan menyenaraikan kapten Vincent Kompany menimbulkan pertikaian selepas dia tampak bergelut berdepan jentera serangan United.

Kompany dilayangkan kad kuning selepas mengasari Marcus Rashford pada minit ke-10 ketika United menguasai babak awal permainan.

Paul Pogba menguji Ederson dengan rembatan jarak jauh sebelum percubaan akrobatik Jesse Lingard tersasar.

Penjaga gol United, David de Gea yang menurun prestasi sejak akhir-akhir ini pastinya mahu melupakan satu lagi malam mengecewakan kerana dia boleh melakukan dengan lebih baik lagi untuk menyelamatkan dua gol City itu.

Kebimbangan Solskjaer mengenai tahap kecergasan pemainnya mula terserlah apabila City mencipta peluang demi peluang sama ada pada awal babak pertama atau kedua.

Guardiola melakukan pertukaran pada babak kedua dengan masukkan Sane menggantikan Fernandinho dan mencetuskan impak positif apabila Bernado yang melepasi kawalan pertahanan tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-54 menerusi rembatan kaki kiri melepasi jangkauan De Gea.

United terlepas peluang terbaik menyamakan kedudukan apabila Lingard gagal menyambung hantaran hantaran lintang di depan gawang City.

Sane jarang diturunkan Guardiola sejak akhir -akhir ini tetapi jaringannya menghadiahkan kekalahan tunggal Liverpool musim ini pada Januari lalu dan dia membuktikan kemampuannya sekali lagi apabila diperlukan dalam perlawanan besar.

Raheem Sterling mengetuai serangan balas City yang kemudiannya menghantar bola kepada Sane yang merembat kencang terkena kaki De Gea sebelum menerjah gawang.

City mungkin menunggu setahun lagi untuk kejayaan Liga Juara-Juara tetapi mereka kini di ambang mencipta sejarah dengan merangkul treble buat pertama kali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 7:37 AM