ARIF (depan) dan Nur Azriyn beraksi pada Terbuka Malaysia awal bulan ini. — FOTO Syarafiq Abd Samad
ARIF (depan) dan Nur Azriyn beraksi pada Terbuka Malaysia awal bulan ini. — FOTO Syarafiq Abd Samad
Ferzalfie Fauzi


SESUDAH tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia hari ini, beregu lelaki profesional negara, Arif Latif-Nur Azriyn Ayub akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut Arif, tumpas kepada pilihan ketiga Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dari Jepun tidak menjejaskan sebarang perancangan mereka musim ini.

“Ini kali pertama kami bertemu mereka dan selepas ini kami sudah tahu bagaimana untuk berdepan dengan pasangan Jepun ini. Perancangan kami tetap sama terutama selepas bermulanya kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kami akan cuba mengumpul mata sebanyak mungkin dan sudah memilih beberapa kejohanan untuk disertai,” katanya selepas tumpas 16-21, 18-21 di Wuhan, China.

WEI Feng tumpas di tangan Chen Long. — FOTO Syarafiq Abd Samad
WEI Feng tumpas di tangan Chen Long. — FOTO Syarafiq Abd Samad

Dua bekas pemain perseorangan lelaki negara itu akan menyertai Terbuka Kanada dan Amerika Syarikat Julai depan.

Selain Arif-Nur Azriyn, satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mengalami nasib sama apabila kalah di tangan pilihan kedua dari China, Li Junhui-Liu Yuchen 23-21, 22-24, 14-21.

Bagaimanapun, naib juara Seluruh England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak perlu berpeluh hari ini apabila menerima kemenangan percuma sekali gus mara ke suku akhir selepas Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan menarik diri.

Turut tersingkir perseorangan lelaki profesional, Chong Wei Feng yang kalah 16-21, 7-21 kepada Chen Long.

Dalam acara perseorangan wanita, Soniia Cheah terpaksa akur dengan kehebatan pilihan kedua dari Jepun, Nozomi Okuhara apabila kalah 21-17, 12-21, 15-21, manakala beregu wanita, Anna Cheong-Lim Chiew Sien tumpas 15-21, 18-21 kepada pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 6:16 PM