TCHETCHE (kiri) membantu TFC kembali menemui sentuhan kemenangan dalam Liga Super. — FOTO Rozainah Zakaria
TCHETCHE (kiri) membantu TFC kembali menemui sentuhan kemenangan dalam Liga Super. — FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad


PENYERANG sensasi Kipre Tchetche meledak dua gol pada babak kedua sekali gus membantu Terengganu FC (TFC) mengatasi FELDA United 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Selepas terikat tanpa jaringan ketika rehat, Tchetche memecah kebuntuan dengan gol pembukaan pada minit ke-50.

Pemain dari Ivory Coast itu menyambut hantaran pendek dari luar kotak penalti sebelum menggelecek tiga pemain dan rembatan kencangnya gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Norazlan Razali.

Tchetche, yang baru saja menyumbat gol sulungnya dalam Liga Super musim ini, hampir menambah gol lima minit sebelum tamat namun percubaannya singgah di palang gol.

PEMAIN TFC, Malik Mat Ariff (kiri) diasak oleh pemain FELDA. — FOTO Rozainah Zakaria
PEMAIN TFC, Malik Mat Ariff (kiri) diasak oleh pemain FELDA. — FOTO Rozainah Zakaria

Pada minit ke-90, dia menambah derita pelawat apabila meledak gol kedua peribadi dan pasukannya hasil kesilapan memalukan kapten FELDA, Jasazrin Jamaludin.

Jasazrin menolak bola kepada Norazlan namun Tchetche pantas menyambar bola sebelum menggelecek penjaga gol dan mudah merembat masuk ke pintu gol ternganga.

FELDA, yang menghuni tangga kedua tercorot, bagaimanapun mendapat gol sagu hati pada minit keempat masa kecederaan menerusi rembatan Kei Ikeda.

Kemenangan itu melonjakkan TFC ke tangga keenam Liga Super dengan 12 mata, jauh 11 mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim. Bagaimanapun ia melegakan mereka selepas tewas dalam tiga aksi terakhir Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 11:49 PM