PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT) meraikan kemenangan selepas menjuarai Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah.
PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT) meraikan kemenangan selepas menjuarai Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus membuktikan mereka layak digelar sebagai 'raja' bola sepak nusantara apabila membenam Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi final Piala FA sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu menyaksikan JDT yang juga juara lapan kali Liga Super cukup mantap hampir semua bahagian sekali gus sukar bagi TFC mencari gol penyamaan untuk menghidupkan peluang.

Malah, kemenangan itu menyaksikan JDT kini hanya tinggal untuk menjulang Piala Malaysia saja pada musim 2022 dalam usaha melengkapkan kejuaraan mereka sebagai pasukan terbaik di negara ini.

Separuh masa pertama menyaksikan JDT hampir mendahului perlawanan pada minit ke-11 apabila rembatan pemain lincah Arif Aiman Hanapi terkena tiang sekali gus memberi kelegaan kepada skuad kendalian Nafazi Zain.

TFC pula yang dilihat lebih banyak bertahan turut berpeluang mengejutkan skuad kendalian Hector Bidoglio menerusi Kipre Techetche namun pengalaman penjaga gol JDT Farizal Marlias berjaya menidakkan serangan itu sekali gus menyelamatkan pintu gawang Harimau Selatan.

Gol yang ditunggu akhirnya hadir pada minit ke-34 apabila kelincahan Arif menggelecek pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan menerjah gol untuk kedudukan 1-0.

Babak kedua pula menyaksikan JDT bagaikan dahaga gol apabila terus mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan.

Namun, kesilapan penjaga gol TFC Rahadiazli Rahalim yang menjatuhkan ayam tambatan JDT Bergson Da Silva dihukum dengan sepakan penalti sebelum disempurnakan pemain terbabit untuk kedudukan 2-0.

Skuad Penyu dilihat enggan cepat mengalah apabila berjaya merapatkan jurang selepas rembatan penyerang mereka Tchetche terkena Farizal sebelum menerjah gawang minit ke-75 untuk kedudukan 2-1.

JDT yang melakukan tiga pertukaran pemain untuk menguatkan jentera serangan mereka menutup terus peluang TFC apabila kesilapan Rahadiazli yang keluar terlalu awal memberi ruang kepada Bergson menyumbat gol ketiga JDT untuk kedudukan 3-1.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan JDT berjaya membawa pulang Piala FA selepas kali terakhir menjulangnya pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 11:02 PM