NOR Haziq bekerja keras menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi pemain Sabah di Stadium Likas. - FOTO Edmund Samunting
NOR Haziq bekerja keras menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi pemain Sabah di Stadium Likas. - FOTO Edmund Samunting
Ryan Stanley

SABAH gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan UiTM FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, malam ini.

Tuan rumah terlebih duhulu mencemaskan gawang lawan menerusi percubaan pertahanan import mereka, Park Taesu pada minit ke-18 namun sepakannya tinggi melepasi palang walaupun penjaga gol UiTM FC, Muhamad Nor Haziq Mohd Aris sudah pun tertewas.

Sabah memiliki dua peluang terbaik pada minit ke-41 dan 45 menerusi Luis Carlos Junior tetapi berjaya diselamatkan Nor Haziq walaupun dalam situasi satu lawan satu dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Pada babak kedua, skuad Tambadau bermula garang dan mendahului lawan menerusi Rodoljub Paunovic yang menanduk kemas hantaran Randy Baruh pada minit ke-49.

Tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-55 namun rembatan Luka Milunovic sekadar singgah di palang.

Pada minit ke-57, giliran Alto Linus pula memiliki peluang namun rembatan kencangnya selepas melepasi seorang pertahanan tinggi melewati palang.

Nor Haziq kemudian sekali lagi menjadi penyelamat pasukannya apabila berjaya menepis keluar sepakan percuma Milunovic pada minit ke-68.

Pada minit ke-79, penyerang import UiTM FC, Robert Waly Lopez Mendy hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya terkena tiang walaupun penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim sudah tertewas dan rembatan susulan Mohammad Amer Azahar juga berjaya diselamatkan Rozaimie.

UiTM FC kemudian berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma leret Robert yang terus menerjah jaring bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Tersentak dengan jaringan itu, Sabah terus melakukan serangan demi serangan namun gagal diterjemahkan kepada jaringan, sama ada diselamatkan penjaga gol atau tidak menepati sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 10:47 PM